ACEH - Seorang bilal rebah dan disahkan meninggal dunia ketika sedang melaungkan azan Subuh di Masjid At-Taqwa, Gampong Pisang di sini Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, tiada siapa menyangka itu merupakan azan terakhir yang dilaungkan oleh Tgk Nordin, 50, yang telah berkhidmat selama 30 tahun sebagai bilal di masjid tersebut.
Iklan
Iklan
Seorang jemaah masjid, Hijrah memberitahu, Tgk Nordin merupakan seorang lelaki yang sangat baik di kampungnya dan kehilangannya bukan sahaja dirasai jemaah di masjid itu malahan seluruh penduduk.
Menurutnya, Tgk Nordin sebelum ini menerima rawatan kerana mengalami masalah kesihatan, lapor Tribun News menerusi sumber.
"Pada waktu Subuh itu, Tgk Nordin sendiri yang mahu melaungkan azan pada waktu itu kerana ingin ke Medan menjalani rawatan di sana namun ALLAH lebih menentukan.
"Dia telah meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh pada kalimat hayya ‘alash shallah yang kedua. Jadi kami terasa sangat dengan kehilangannya. Semoga Allahyarham mendapat tempat yang layak di sisi ALLAH,” katanya.
Allahyarham Tgk Nordin meninggalkan lima anak iaitu Naswad, Suardi, Umraiti, Muktar dan Suriati.