KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur melaksanakan Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak sempena Ramadan bermula Selasa.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, perlaksanaan PJR sehingga 7 April itu membabitkan semua 11 Parlimen di ibu kota ini dengan dua kali penganjuran di setiap kawasan terbabit sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, program ini dijalankan di lokasi terpilih kecuali pada hari Jumaat dengan minimum 600 pek bagi setiap barangan disediakan.
"Barangan asas ditawarkan dengan harga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
"Antaranya adalah ayam, telur, minyak masak, tepung gandum, beras, sardin, daging lembu, bawang merah, bawang putih dan santan,” katanya ketika ditemui pemberita pada PJR Bergerak di Blok B Desa Pandan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, program terbabit dijalankan bagi meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Ujar Ariffin, pihaknya sentiasa menambah baik program itu termasuk kemudahan dengan menyediakan khemah dan tempat duduk kepada pembeli terutama dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
"Selain PJR Bergerak, kami juga masih menjalankan PJR di 22 premis pada hujung minggu sewaktu selepas gaji bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan asas ini pada harga lebih rendah,” katanya.
Mengulas mengenai pemantauan dibuat pihaknya selepas perlaksanaan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac lalu, beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan secara berterusan.
"Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan membabitkan cukai berkenaan.
"Namun, pemantauan secara berterusan akan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Azizah Ali, 66, berkata, dia mengambil pendekatan untuk membeli bekalan barangan asas dalam program berkenaan atas faktor harga yang harga lebih murah.
"Memang jauh beza harga barang beli di sini (PJR Bergerak) berbanding di luar.
"Contohnya beras, selalunya saya beli pada harga lebih RM40 bagi 10 kilogram (kg), tapi saya boleh dapat harga RM38 sahaja di sini. Malah, barangan asas lain juga murah," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!