Warga emas OKU berharap kembali pulih

Iklan
Harun (berkerusi roda) bersama Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) serta gabungan agensi kerajaan dan pasaraya Econsave yang bergotong-royong membersihkan kediamannya.

PASIR PUTEH - Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) menangis kegembiraan sejurus melihat rumahnya di Kampung Padang Pak Amat di sini yang sebelum ini kotor dan tidak terurus kembali bersih hasil gotong-royong Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) serta gabungan agensi kerajaan.

Harun Mamat, 63, yang merupakan bapa tunggal dan berkerusi roda kerana tidak dapat berjalan tidak dapat menguruskan rumahnya dalam keadaan baik selepas diserang pelbagai penyakit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia hanya mampu berterima kasih kepada semua pihak yang sanggup bermandi peluh membersihkan 'mahligainya' itu.

"Satu nafas baharu buat saya dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan selepas ini.

Iklan

"Bukan tidak mahu membersihkan rumah, namun kudrat saya mulai menurun sejak diserang penyakit menyebabkan pergerakan agak terbatas," katanya.

Katanya, dia berharap kesihatan kembali pulih bagi memastikan rumahnya sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Keadaan rumah Harun sebelum dibersihkan.

Iklan

Sementara itu Pengerusi Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care), Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, program gotong-royong itu melibatkan gabungan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, antara yang terlibat dalam menjayakan program itu ialah anggota bomba Pasir Puteh, bomba sukarela Pasir Puteh, Econsave Pasir Puteh dan Prolife Medic Ambulance Kota Bharu.

"Ini adalah satu usaha kita membantu Harun bagi membolehkan dia menjalani kehidupan lebih baik," katanya.

Muhammad Afiq Aiman berkata, pihaknya akan terus memperluaskan program ini dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, jalinan kerjasama ini merupakan tanggungjawab sosial yang mampu memberikan impak besar pada masyarakat.

"Kita sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan," katanya.