Imigresen Perak terima 350 permohonan Program Repatriasi Migran

Iklan
Meor Hezbullah meninjau pelaksanaan PRM dijalankan Jabatan Imigresen Perak pada Selasa.

IPOH - Jabatan Imigresen Perak menerima 350 permohonan termasuk 11 kanak-kanak pendatang asing tanpa izin menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) sejak 1 Mac lalu.

Pengarah Imigresen negeri, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, menerusi program itu, kesemua mereka berusia antara 11 bulan hingga 64 tahun itu boleh pulang ke negara asal secara sukarela tanpa tindakan pendakwaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu, Indonesia mencatatkan bilangan warganegara paling tinggi iaitu 268 orang diikuti Bangladesh (25), India (24), Pakistan (17), Myanmar (9), Nepal (3), Sri Lanka (2), Vietnam dan Singapura masing-masing seorang.

Beliau berkata, mereka boleh hadir ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri dekat Meru Raya di sini sehingga tempoh akhir daftar 31 Disember depan.

Iklan

Katanya, setiap daripada mereka hanya perlu membawa dokumen berkaitan antaranya pasport atau dokumen perjalanan yang sah untuk permohonan diproses.

"Mereka yang hadir ke imigresen tidak perlu bimbang, kita tidak akan tangkap atau gari.

Iklan

"Datang sahaja dengan syarat bawa dokumen untuk proses seterusnya. Kalau ada khabar angin akan ditangkap, itu sama sekali tidak benar," katanya.

Meor Hezbullah berharap, lebih ramai warga asing yang melakukan kesalahan migran tertentu mengambil peluang menerusi program tersebut.

"Mereka yang berbuat demikian hanya akan dikenakan jumlah kompaun minimum bagi beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa pemenjaraan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28