SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperluaskan kempen menderma organ sehingga ke peringkat sekolah rendah bagi memupuk kesedaran dan kepentingan menjadi penderma pada masa hadapan.
Pakar Perunding Nefrologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata, sebagai contoh ia boleh dijadikan salah satu topik pembelajaran dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
"Selain itu, kempen besar-besaran melibatkan semua jenis media sosial mahupun fizikal adalah strategi efektif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pendermaan organ.
"Dalam pada itu, dengan asas kerajaan yang kukuh dan bersepadu, kempen kesedaran pendermaan organ boleh menjadi lebih berkesan dan mampan dalam membina pemahaman dan sokongan orang ramai terhadap proses tersebut," katanya pada Selasa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan lebih ramai individu diperlukan sebagai penderma organ terutamanya bagi membantu pesakit yang memerlukan pemindahan segera.
Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 300,000 orang yang telah berikrar untuk menderma organ seperti jantung, hati, paru-paru dan sebagainya, namun 0.02 peratus sahaja berakhir dengan pendermaan tersebut.
Menurutnya, di IJN sahaja, terdapat 22 pesakit sedang menunggu penderma yang sesuai untuk melaksanakan pemindahan yang melibatkan jantung.
Mengulas lanjut mengenainya, Nor Fadhlina berkata, kurang pengetahuan menjadi faktor ramai dalam kalangan rakyat di negara ini tidak ikrar untuk derma organ.
"Mereka mungkin tidak memahami sepenuhnya proses dan faedah pendermaan organ. Kekurangan pemahaman tentang cara proses pendermaan organ berfungsi dan bagaimana ia boleh menyelamatkan atau meningkatkan kualiti hidup orang lain boleh menghalang seseorang daripada mendaftar sebagai penderma.
"Selain itu, sikap dan persepsi masyarakat mengenai pendermaan organ selepas meninggal dunia juga menjadi punca. Contohnya individu itu sudah berikrar sebagai penderma tetapi keluarga tidak membenarkan proses dilakukan (pendermaan organ selepas meninggal dunia) apabila pihak hospital memohon kebenaran waris," katanya.
Jelas beliau, sesetengah agama atau budaya mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang pendermaan organ yang mungkin mempengaruhi keputusan seseorang individu untuk mendaftar sebagai penderma.
Katanya lagi, kemungkinan juga ada individu yang menyedari mereka mempunyai peluang untuk menjadi penderma organ namun tidak tahu cara mendaftar dan proses selanjutnya untuk berbuat demikian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!