Pemilu 2024 dan kebebasan media

Iklan
Tiga calon presiden Indonesia iaitu Anies Baswedan, Prabowo Subuanto dan Ganjar Pranowo ketika berbahas pada program debat siri terakhir anjuran KPU di Pusat Konsvensyen Jakarta pada 4 Februari lalu.

SAYA mengagumi kebebasan media, khususnya media arus perdana sewaktu Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2024.

Secara jujur saya tidak membayangkan kesediaan kerajaan Indonesia untuk memberikan ruang kebebasan bersuara seperti itu. Jarang-jarang dalam tradisi negara membangun, media diberikan peluang sedemikian bebas menjelang mana-mana pilihan raya.

Iklan
Iklan

Hal ini tidak mungkin berlaku di Malaysia.

Memang peranan media sosial tidak dapat dikesampingkan dalam sebarang pilihan raya pada masa ini. Perlu diingat bahawa lebih separuh daripada 204 juta pengundi dalam Pemilu Indonesia 2024 adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun.

Iklan

Kebanyakan mereka adalah daripada Generasi Z dan millennials yang hanya mengenal platform atau landasan media sosial. Kebanyakan mereka tidak membaca akhbar dan menonton TV.

Maka itu pertarungan untuk memenangi hati kelompok ini begitu sengit. Calon presiden (Capres) nombor dua, Prabowo Subianto berharap dengan memilih calon wakil presiden (Cawapres) Gibran Rakabuming Raka, beliau akan menawan sebahagian besar pengundi muda, baharu dan pertama kali.

Iklan
Suasana debat Capres 2024 antara Ganjar Pranowo, Anies Baswedan dan Prabowo Subianto.
Gibran, anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi) baru berusia 36 tahun. Soal sama ada Gibran cukup matang atau berkaliber itu soal lain.

Sementara itu dua Capres yang lain, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo memilih Cawapres yang lebih kurang seusia dengan mereka (Muhaimin Islandar dan Mahfud MD).

Dalam konteks Pemilu 2024 selain landasan media sosial, akhbar dan TV memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Hampir kesemua stesen TV di Indonesia menyediakan ruangan perbincangan baik dalam bentuk bual bicara (talk-show) atau komentar tentang Pemilu 2024.

Hal ini berlaku lama sebelum hari pemilihan pada 14 Februari 2024. Dan berterusan setelah Pemilu.

Bagi saya, kemenangan paling besar dalam Pemilu kali ini adalah kebebasan media.

Saya mengikuti perbahasan di media sosial termasuk di podcast yang berpengaruh, selain membaca akhbar dan mengikuti TV melalui YouTube.

Selama dua minggu saya berada di Pulau Jawa untuk merasakan sendiri denyut Pemilu yang dikatakan paling menarik, mencabar dan demikian dinantikan, khususnya dalam konteks pemilihan presiden (Pilpres).

Pilpres dibuat bersekali dengan pemilihan untuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), juga pemilihan wakil provinsi dan daerah.

Saya melihat kesegaran yang luar biasa dalam dunia media di Indonesia – para wartawan memberikan perspektif yang kritikal dan rata-rata saksama. TV pula mengundang jurubicara calon (Jubir) yang dalam perbahasan.

Saya mengagumi bagaimana moderator dan pengacara membawakan isu semasa dengan memberikan peluang pada kepelbagaian pandangan.

Sebahagian besarnya merupakan wartawan muda tetapi sarat pemahaman dan ilmu. Debatnya hangat, ada kalanya sensasi dan penuh kontroversi tetapi penuh hormat.

Mungkin juga asas keterbukaan ini mendapat rangsangan daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang mengaturkan debat Capres dan Cawapres sebanyak lima kali, tiga untuk Capres, dua untuk Cawapres menjelang Pemilu.

Dalam debat itu Capres dan Cawapres masing-masing menjawab soalan, mengemukakan gagasan dan menghadapi soalan dari calon yang lain. Isunya bukan mutu perdebatan sahaja tetapi peluang yang diberikan untuk rakyat melihat sendiri calon yang bakal mereka pilih.

Siri debat Capres dan Cawapres ini diperuntukkan dalam undang-undang Pilpres pasca-Reformasi. Lebih penting lagi debat itu digilirkan agar semua stesen TV utama berpeluang menjadi tuan rumah.

Jokowi jadi sasaran kecaman

Jadi tidak hairanlah ruang bicara di TV penuh dengan perbahasan Jubir dari tiga pasangan calon (Paslon) serta mereka yang mewakili masyarakat sivil, bidang hukum atau pemerhati politik.

Saya mengagumi program seperti 'Rosi', 'Panggung Demokrasi', 'Kontroversi', 'Q&A', 'Mata Najwa', 'Catatan Demokrasi' dan 'Indonesia Lawyers Club'. Dalam bual bicara itu, banyak isu yang dibangkitkan, banyak pula yang amat kritikal terhadap pemerintahan Jokowi.

Jokowi menjadi sasaran kecaman. Antara lain disebabkan beliau dikatakan mengkhianati parti yang selama ini mendukungnya, yakni Partai Demokrasi Indonesia -Perjuangan (PDI-P).

Beliau sebaiknya menyokong Prabowo yang menjadikan anaknya Cawapres. Jokowi juga dikatakan turut berkempen selain memberikan bantuan sosial (Bansos) secara terbuka bagi menguntungkan pasangan calon tertentu.

Hal ini dilakukannya walaupun beliau berjanji 'tidak akan melanggar aturan, tidak akan melanggar undang-undang dan tidak akan mengotori demokrasi'.

Lebih penting lagi beliau dituduh menggunakan kedudukannya untuk menggerakkan instrumen kerajaan bagi membantu Paslon Prabowo-Gibran.

Malah sekiranya dokumentari 'Dirty Vote' boleh dipercayai, maka Jokowi telah merencanakan konspirasi untuk memenangkan Paslon pilihannya lama sebelum pemilihan bermula.

Suara lantang dari kampus – bukan dari pelajar sahaja – tetapi dari ilmuan dan pimpinan universiti mula kedengaran. Mereka mendesak Jokowi 'kembali pada koridor demokrasi'.

Momentum gerakan rakyat untuk melihat pemilu bersih berkumandang. Apa yang lebih menarik adalah perbahasan tentang soal etika dan moral dan perlunya demokrasi yang dicanai seperti yang dituntut selepas Reformasi 1998.

Maka itu apabila hitungan cepat (quick count) memberikan pada 14 Februari kemenangan pada Paslon Prabowo-Gibran maka teriakan tentang 'Pemilu curang', 'Pemilu bermasalah' dan 'Pemilu brutal' serta serangan terhadap KPU dan badan pengawas pemilu (Bawaslu) semakin lantang kedengaran.

Keputusan rasmi Pemilu 2024 akan hanya diumumkan pada 20 Mac ini. Tetapi pelbagai isu kejanggalan dan ketidakjujuran pihak pengendali Pemilu sedang hangat didebatkan.

Bagi memperkuat hujah bahawa memang berlaku kecurangan dalam Pemilu kali ini, Koalisi Masyarakat Sivil Kawal Pemilu Bersih beberapa hari lalu telah dipanggil oleh jawatankuasa DPR (Komisi II) bagi mengemukakan beberapa bukti bagaimana Ketua KPU dikatakan menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi keputusan sejak awal.

Media bebas adalah asas demokrasi. Bagi membolehkan demokrasi berfungsi seperti yang dituntut maka media harus diberikan kebebasan yang diwajarkan mengikut perlembagaan.

Peranan media dalam negara membangun lebih penting lagi untuk menjadi mata dan telinga rakyat.

Indonesia telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam Pemilu kali ini.

• Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mengikuti Pemilu Indonesia 2024 dengan penuh minat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!