SPR diarah mudahkan proses mengundi luar negara - PM

Iklan
Anwar berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jerman pada Selasa. Foto Bernama

BERLIN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diarahkan untuk memudahcara proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, dengan bilangan perantau yang semakin meningkat, maka kapasiti pelaksanaan pilihan raya juga harus terus ditingkatkan.

Iklan
Iklan

"Agenda kita reformasi, termasuk pilihan raya. Sekarang proses itu terlalu rumit. Penduduk Malaysia di luar negara termasuk di Singapura sudah cecar 500,000, bahkan mungkin lebih. Kita mesti mudahkan.

"Arahan saya kepada SPR, saya tidak mahu alasan, mudahkan proses pengundian. Banyakkan pusat mengundi. Jerman contohnya, MATRADE, MIDA dan Duta Besar (boleh bantu). Lebih banyak pusat mengundi, lebih cepat, efisien dan selamat (proses pilihan raya).

Iklan

"Jaminan saya, lebih ramai rakyat Malaysia luar negara boleh penuhi tanggungjawab mengundi. Ini tidak sukar,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jerman, pada Selasa.

Perdana Menteri berada di sini, bagi lawatan rasmi beliau ke Jerman.

Iklan

Kata Anwar, pendaftaran sebagai pengundi bukan lagi suatu isu besar memandangkan Malaysia sudah beralih kepada sistem pendaftaran automatik.

Perdana Menteri memberi reaksi kepada pertanyaan Setiausaha Agung Global Bersih, Nirmala Devi Windgaetter mengenai usaha kerajaan untuk memastikan proses pilihan raya bagi rakyat Malaysia di luar negara lebih mudah.

Antara isu yang dibangkitkan ialah berkenaan tempoh memulangkan kertas undi pos dan tempoh masa berkempen yang singkat.

Kata Nirmala, ini menyukarkan pengundi Malaysia luar negara untuk memenuhi tanggungjawab demokrasi mereka. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28