PM Anwar bertemu umat Islam di Jerman

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) bersama Duta Besar Turkiye ke Jerman Ahmet Basar Sen beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Sehitlik di sini pada Selasa. Foto Bernama

BERLIN - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan untuk bertemu umat Islam di Jerman.

Anwar, yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan rasmi, menyertai jemaah di Masjid Sehitlik untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih.

Iklan
Iklan

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Turkiye ke Jerman Ahmet Başar Şen.

Beliau kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti Islam terbabit.

Iklan

Antara isu yang dibincangkan ialah pembangunan umat Islam di Jerman dan situasi yang menimpa warga Palestin di Gaza.

"Perdana Menteri dan komuniti Islam juga menyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta," kata seorang diplomat Malaysia.

Iklan

Perdana Menteri juga menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam sempena bulan Ramadan.

Beliau turut menyumbangkan 12 naskhah al-Quran dengan sebuah daripadanya adalah Cetakan Khas, sebuah lagi Terjemahan Bahasa Jerman manakala 10 ialah Terjemahan Bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid.

Terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam menetap di Jerman, yang mewakili 6.6 peratus populasi dan merupakan kumpulan agama kedua terbesar di negara itu.

Pada sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada Isnin, Anwar mengkritik negara Barat kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Menurut Perdana Menteri, dasar dan kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!