PENGENDALI Barcelona, Xavi Hernandez menyifatkan kejayaan menewaskan Napoli untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara pada Rabu adalah antara detik terbaik dalam karier kejurulatihannya.
Juara Sepanyol itu menang 3-1 di Stadium Olimpik untuk memastikan kemenangan agregat 4-2 menentang juara Serie A tahun lalu untuk mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama sejak 2020.
"Terdapat banyak kritikan yang tidak adil, (bahawa kami) menjadi jenaka Liga Juara-Juara, kami terpaksa bermain dengan tekanan itu.
"Kami perlu menjadi lebih baik daripada Napoli dan kami berjaya lakukannya. Ia adalah salah satu momen terbaik saya sebagai jurulatih Barcelona,” katanya.
Bagaimanapun, Xavi berkata, dia tidak akan mengubah fikirannya untuk meninggalkan pasukan pada penghujung musim susulan keputusan yang diambil pada Januari.
Pemain pertahanan tengah, Pau Cubarsi, 17 diberikan anugerah pemain terbaik perlawanan dan Xavi memuji pemain pertahanan muda itu.
"Dia seorang pemain muda yang sangat rasional, dia sabar, dia sangat merendah diri dan dia mahu menjadi lebih baik.
"Kemunculannya adalah perkara baik untuk Barcelona dan bola sepak Sepanyol - kami sedang melihat pemain pertahanan peringkat tinggi untuk tahun-tahun akan datang," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28