Fasiliti indah untuk orang kaya ada, tiada untuk orang awam - PM

Iklan
Anwar bersalaman dengan hadirin ketika menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Jerman. Foto Bernama

BERLIN - Perancangan bandar harus berubah dengan memberikan tumpuan kepada membina infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat terbanyak, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Perdana Menteri, adalah tidak adil apabila fasiliti untuk orang kaya disediakan begitu indah, sedangkan hal yang sama tidak dinikmati oleh masyarakat awam.

Iklan
Iklan

"Perancangan bandar perlu berubah. Pada tahun pertama saya mengendalikan Wilayah Persekutuan, tidak ada tumpuan kepada isu perumahan dan gerai-gerai usang. Saya arahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk beri tumpuan kepada isu ini.

"Kita ada banyak warung yang telah dinaik taraf dengan lebih banyak fasiliti asas, air dan sebagainya.

Iklan

"Kemudian fasiliti untuk orang awam termasuk taman hijau. Kita ada spa, restoran dan fasiliti terbaik untuk orang kaya, tetapi tidak untuk orang awam,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jerman pada Selasa.

Menurut Anwar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam usaha untuk meningkatkan mutu fasiliti rakyat berkenaan.

Iklan

Namun, katanya, di sebalik beban hutang yang terlalu tinggi, kerajaan tetap berusaha membangunkan infrastruktur awam sebaik mungkin meskipun dengan kekangan kewangan.

"Dengan dana yang cukup kita oleh buat lebih baik. Tetapi kita ada hutang lebih RM1 trilion dan 5.6 peratus defisit fiskal.

"Apabila kita turunkan nilai defisit itu kepada lima peratus, pelabur lebih yakin. Tidak ada pinjaman dan projek mega kecuali infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat,” jelas Perdana Menteri lagi. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28