PETALING JAYA - Seorang ibu yang mengaku menganiaya anak lelakinya berusia setahun empat bulan, dengan memberi susu bercampur air mengandungi dadah berbahaya jenis 'methamphetamine' di Mahkamah Sesyen dua minggu lalu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah, pada Rabu.
Tertuduh, suri rumah berusia 34 tahun mengubah pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca semula di hadapan Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Nor yang mana ketika prosiding lalu, mahkamah menetapkan Rabu untuk fakta kes dan jatuh hukum bagi wanita tersebut.
Sementara suaminya, peniaga air balang berusia 40 tahun, mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas kes sama.
Berikutan perkembangan baharu tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes dan laporan perubatan.
Semasa prosiding, peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli hadir bagi mewakili tertuduh lelaki sementara peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar bagi wanita berkenaan.
Hakim kemudiannya menetapkan 10 Mei depan bagi sebutan semula kes, untuk kedua-dua tertuduh.
Sebelum ini, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan terbabit sehingga menyebabkan anak bongsu tersebut mengalami 'allegedsympathomimetic drug ingestion' di sebuah rumah pangsapuri di Taman Medan, di sini pada jam 6 petang, 19 Februari lalu.
Mereka boleh dihukum bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesilapan membancuh susu mengandungi cecair dadah, sebelum diberikan kepada anak mereka yang masih kecil.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail, kejadian hampir meragut nyawa bayi lelaki itu dikesan, ketika dia berada bawah jagaan neneknya, namun mangsa dikatakan tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal.
Polis berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah.