KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat Kampung Baru sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ekoran akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan kawasan berkenaan tidak dapat diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat yang bermula dengan tapak warisan yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, warisan negara yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya seterusnya warisan dunia yang diberikan oleh UNESCO.
"Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Baru,” katanya bagi menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, beberapa perkara menjadi panduan pembangunan Kampung Baru termasuk nilai kebudayaan dan pemuliharaan warisan alam bina, perancangan inovatif dalam pembangunan tanah, pemuliharaan dan penjanaan semula kawasan serta menjaga kepentingan pemilikan orang Melayu.
Justeru katanya, kawasan berusia 125 tahun itu akan dipromosikan sebagai bandar Melayu dalam Kuala Lumpur.
"Kini hanya ada sebilangan kecil sahaja rumah-rumah berciri tradisional yang masih kekal dan antara yang wujud adalah Rumah Limas, Rumah Johor dan Rumah Bumbung Panjang di atas tanah milik individu.
"Selain itu, terdapat bangunan yang mempunyai nilai sejarah seperti Kelab Sultan Sulaiman dan ianya di bawah kawal selia kerajaan Selangor. Setakat ini, bangunan berkenaan masih belum tersenarai sebagai tapak yang diwartakan di bawah Jabatan Warisan Negara,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Hasan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai tuntutan penduduk Kampung Sungai Baru, Dr Zaliha berkata, beliau bercadang untuk bertemu dengan mereka yang terlibat namun tidak memperincikan bila akan berbuat demikian.
"Buat masa ini terdapat 34 unit yang masih berpenghuni daripada 328 unit kediaman. Kesemua unit yang masih dihuni terlibat dalam pengambilan tanah, maksudnya lebih 75 peratus telah keluar dari situ yang telah bersetuju.
"Yang ini Insya-ALLAH, saya akan turun bertemu dengan penduduk. Tetapi apa pun, kadang-kadang kita kena tengok juga keputusan yang telah dibuat dan saya terbuka untuk perbincangan," katanya.
Perkara mengenai tuntutan dibangkitkan susulan penduduk tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 bagi setiap kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mereka berpindah bagi membolehkan tanah dibangunkan.
Hasan turut menyifatkan tidak adil jika penduduk ditawarkan kadar pampasan yang kecil sedangkan kawasan itu terletak berhampiran kawasan 'bernilai tinggi'.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28