AMPANG – Dalam kehidupan ini, terdapat banyak kisah meruntun jiwa yang tidak semua orang mampu dan sanggup untuk menghadapinya.
Tidak meminta untuk hidup dalam keadaan sedemikian, namun, itulah yang dilalui oleh Nor Alia Abdullah, 38, bersama suaminya, Ali Nor Rahim Ali, 49, yang terpaksa membesarkan empat anak mereka yang menghidap penyakit jantung berlubang.
Menetap di Flat Taman Industri Lembah Jaya di sini, kehidupan mereka tidak pernah mudah. Daripada empat anaknya itu, tiga daripada mereka iaitu Muhammad Adam, 10, turut mengalami masalah pertuturan manakala anak kedua, Siti Salwa, 8, pula menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD).
Sementara itu, Nur Aleeya Damia, 6, menghidap Sindrom Russell-Silver iaitu kelainan genetik sejak lahir yang menyebabkan gangguan terhadap proses tumbesaran, menjadikan keadaan fizikal badannya kecil dan rendah.
Meskipun ditimpa dugaan berat, Nor Alia dan Ali Nor tidak pernah mengeluh walaupun pendapatan keluarganya tidak menentu.
Keluarganya hanya bergantung kepada jualan ayam goreng kunyit serta tempahan gula-gula kapas semata-mata bagi menampung makan minum mereka serta belanja sekolah anak-anaknya sahaja.
Walaupun menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), bagaimanapun ia masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan rawatan keempat-empat orang anaknya yang dianggap terlalu mahal.
Terkesan
Sebagai seorang ibu, pastilah hatinya terkesan apabila melihat anak-anaknya tidak seperti kanak-kanak normal yang lain.
Berkongsi perasaan, dia yang memeluk Islam pada tahun 2013 itu mengakui kadang-kalanya merasa cemas apabila melihat keadaan kesihatan anak-anaknya lebih-lebih lagi Muhammad Adam yang baharu sahaja menjalani pembedahan jantung pada Januari lalu.
Ketika ini, Muhammad Adam masih lagi memerlukan pemerhatian yang intensif.
Pada masa sama, Siti Salwa pula dijangka akan menjalani pembedahan yang sama di Hospital Serdang manakala Nur Aleeya Damia pula perlu menjalani ujian darah setiap empat bulan sekali.
"Dengan pendapatan tidak menentu, agak sulit bagi saya dan suami untuk memastikan anak-anak istimewa kami ini mendapat keperluan yang terbaik, lebih-lebih lagi untuk belanja rawatan yang memakan RM300 sebulan.
"Belanja itu bukan sahaja meliputi kos rawatan, tetapi turut melibatkan ubat-ubatan, pengangkutan berulang-alik ke hospital. Selain itu, belanja tersebut tidak termasuk makan minum serta barangan keperluan lain yang semakin mahal ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Kunjungan LBS
Terdahulu, Nor Alia menerima kunjungan daripada syarikat pemaju hartanah pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) yang menyalurkan sumbangan serta bantuan persiapan Aidilfitri untuk keluarga Nor Alia.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan LBS sejak 2021 bagi menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan.
Menurut Pengurus Kumpulan Komunikasi Korporat LBS, Amal Abdul Aziz, kunjungan pihaknya ke atas keluarga Nor Alia itu atas prinsip kemanusiaan di samping mahu membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya.
Selain sumbangan barangan keperluan, LBS katanya turut membawa keluarga Nor Alia berbuka puasa serta membawa ahli keluarganya membeli-belah persiapan Aidilfitri.
"LBS sentiasa bersedia membantu masyarakat dan golongan yang memerlukan. Jadi kita bekerjasama dengan Sinar Harian untuk kenal pasti dan seterusnya membantu keluarga ini,” ujarnya.
Untuk menambah luas inisiatif tersebut, LBS jelas beliau turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), rakan kongsi, anak syarikat kerajaan negeri dan pejabat tanah bagi mengesan keluarga atau individu yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.