[VIDEO] Kakak Bella direman kerana isu 'live' di TikTok

Iklan

BATU PAHAT - Seorang wanita dipercayai kakak kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah ditahan bagi membantu siasatan kes berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penahanan dibuat susulan laporan dibuat seorang wanita pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

"Laporan polis itu dibuat seorang wanita menyatakan gambar anaknya berusia empat tahun yang merupakan saksi pendakwaan bersabit satu kes pembunuhan di Batu Pahat telah disebarkan melalui siaran langsung di aplikasi TikTok.

"Susulan itu, sekitar jam 2.10 pagi, Rabu, polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun semasa tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Iklan

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat siaran langsung TikTok tersebut bagi siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Wanita dipercayai kakak kepada Bella (tengah) keluar dari Mahkamah Majistret selepas direman sehari bagi membantu siasatan Akta Kanak-Kanak 2001.

Nenurut Ismail, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan reman selama sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.

Iklan

Sementara itu, suspek dilihat hadir bersama peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan dan beberapa ahli keluarga termasuk suaminya.

Isnin lalu, wanita dilaporkan media sebagai berkata, ketika ini hanya tulang belakang dan tangan jasad adiknya yang belum ditemui.

Wanita itu berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai perkara itu dan usaha untuk mencari saki baki tulang Bella diharap dapat dijalankan secepat mungkin.

Pada 28 Februari, orang awam dilaporkan menemui enam ketul tulang di belakang dan tepi rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, lokasi di mana rangka tidak sempurna Bella ditemui pada pagi 19 Disember lalu.

Perkara disahkan oleh polis berhubung penemuan keenam-enam tulang iaitu dua ketul tulang dipercayai bahagian paha, dua ketul tulang betis dan dua ketul tulang keting di lokasi itu.

Kesemua tulang dijumpai itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Johor untuk analisa perbandingan DNA.

Pada 26 Januari lalu, iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, wanita itu membuat pendedahan mengejut apabila memaklumkan beberapa anggota adiknya 'hilang'.

Kejadian itu disedari ketika dia bersama ibunya, 55, memandikan jenazah Bella di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebaik disahkan rangka itu milik Bella.

Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu selepas ahli keluarga gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember lalu.

Selepas 38 hari misteri kehilangan Bella menjadi tanda tanya, polis berjaya mengesan rangka manusia ditemui tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28