Kastam tumpas empat operasi penyeludupan bernilai lebih RM6 juta

Iklan
Sazali (depan; dua dari kanan) menunjukkan rokok dan minuman keras yang berjaya dirampas dalam empat operasi berasingan yang dilaksanakan JKDM baru-baru ini. Foto HISYAMUDDIN AYUB.

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas rokok, minuman keras, e-waste dan bateri terpakai bernilai lebih RM6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, usaha menyekat penyeludupan tersebut berjaya dilaksanakan menerusi empat operasi berasingan di beberapa lokasi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam operasi pada 29 Februari, pihak JKDM Zon Tengah Selangor menahan sebuah lori membawa 3.9 juta batang rokok dengan anggaran nilai berserta cukai lebih RM3 juta di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak.

Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemukan sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang diseludup dari negara jiran dan tidak berkastam.

Iklan

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang dipercayai pemandu lori telah ditahan bagi siasatan lanjut.

"Nilai rampasan membabitkan rokok seludup ini dianggarkan berjumlah RM392,000, manakala jumlah duti atau cukai bagi rampasan ini dianggarkan sebanyak RM2.6 juta," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Sazali berkata, rampasan kedua melibatkan dua juta batang rokok yang dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta.

Menurut beliau, rampasan di sebuah gudang tidak berpenghuni di Seri Kembangan, Selangor itu dibuat pada 22 Februari lalu.

Bagi rampasan ketiga, katanya, serbuan membabitkan dua buah kontena yang mengandungi dua juta batang rokok, 225 liter minuman keras serta empat kilogram barang dagangan disyaki e-waste.

Jelas beliau, kesemua rampasan di dua kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, dekat sini itu dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai.

"Kedua-dua kontena tersebut telah diimbas dan imej imbasan menunjukkan objek meragukan serta tidak konsisten dengan deskripsi dagangan yang diikrar," ujarnya.

Tambahnya lagi, rampasan keempat membabitkan empat buah kontena yang menyimpan 111,500 kilogram bateri terpakai dengan anggaran nilai berjumlah lebih RM1.1 juta.

Menurutnya, rampasan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang itu dilakukan pada 28 Februari lalu.