SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak supaya kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum baharu setelah genap dua tahun dan tidak memberikan alasan bahawa kajian sedang dijalankan.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, perintah gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 2022 akan genap dua tahun.
Menurutnya, kelewatan mengumumkan kadar gaji minimum yang baharu adalah satu pengabaian kepada pekerja Malaysia.
"Berdasarkan kepada Akta 732, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) menetapkan bahawa sekurang kurangnya sekali setiap dua tahun mengkaji semula perintah gaji minimum. Ia bertujuan bagi menentukan kadar baharu selaras dengan peningkatan kos sara hidup terkini.
"Laporan yang telah dibuat oleh bank negara Malaysia (BNM) pada 2018 mendapati gaji untuk kehidupan wajar bagi individu bujang adalah RM2,700, pasangan tanpa anak RM4,500 manakala pasangan dua anak RM6,500," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Kamarul Baharin, kewajaran mengkaji kadar gaji minimum adalah mendesak kerana kesan kenaikan cukai, air, elektrik dan kos barangan keperluan yang menghambat golongan pekerja.
"Keadaan kadar gaji yang statik akan menyebabkan pekerja sentiasa berada dalam keadaan miskin walaupun mereka bekerjaya.
"Kerjaya seperti pembersihan, pengawal keselamatan dan juga dalam sektor pekerjaan adalah golongan paling banyak terkesan dengan kadar gaji minimum yang diisytiharkan di bawah paras kemiskinan tegar negara," katanya.
Menurut beliau, kerajaan seharusnya sentiasa peka akan keperluan meningkatkan gaji pekerja melalui mekanisme yang telah wujud sekarang.
"Kajian kerajaan seperti model gaji progresif atau model gaji kehidupan adalah tindakan yang baik, namun model yang ada perlu diteruskan sehingga pertukaran dasar dibuat.
"Pekerja menanti dengan penuh harapan agar kerajaan proaktif untuk mematuhi Akta Majlis Perundingan Gaji Negara. Kelewatan pengumuman bermakna kegagalan yang tidak dapat di maafkan oleh pekerja," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28