BATU PAHAT - Susulan tindakan beberapa individu yang menghina Istitusi Diraja di negara ini, termasuklah kepada Yang Di Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bangsa Johor Skuad Muafakat 4All telah membuat laporan polis.
Pengasasnya, Wahyu Hidayat Jaapar berkata, pihaknya kesal terhadap perbuatan berkenaan kerana dianggap biadab terhadap Institusi Diraja yang seharusnya dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, pada Sabtu lalu, dia terbaca satu penulisan melalui sebuah akaun media sosial yang terkandung satu provokasi yang cenderung menghasut pembaca lain untuk memberikan pandangan yang negatif terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Daripada apa yang dimuat naik melalui akaun Facebook milik Kamarul Ariffin itu, ia cenderung untuk membenci Institusi Diraja Johor termasuklah kepada TMJ.
"Susulan daripada perbuatan berkenaan saya mewakili Gabungan NGO Bangsa Johor, Skuad Muafakat 4All membuat laporan polis agar tindakan yang sewajarnya dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam masa yang sama, NGO berkenaan turut membuat laporan polis terhadap seorang lagi individu yang juga menghina Istitusi Diraja dengan menghina Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Katanya, akaun laman sosial milik Eric Liew itu termuat kata-kata dipercayai bertujuan menghasut orang ramai untuk membenci Institusi Diraja di negara ini.
"Kami dalam gabungan ini turut mengharapkan individu berkenaan dapat dijatuhi hukuman yang setimpal agar perbuatan menghina di laman sosial ini tidak menjadi ikutan kapada mereka yang lain.
"Biarlah adanya hukuman kepada mereka-mereka ini (pemilik laman sosial yang memuat naik ayat provokasi) supaya ia dapat menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan daripada beberapa pihak di daerah ini. - Bernama