PEMAIN sayap Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung tekad untuk tampil lebih berbisa selepas sekali lagi dipinjamkan dari Selangor FC ke kelab itu untuk musim ini.
Pemain import Myanmar itu telah bersama Negeri Sembilan selama empat bulan secara pinjaman musim lalu dan berjaya membuktikan kemampuannya apabila khidmatnya terus ditagih Skuad Rusa.
Sekalipun hanya mampu meledak dua gol ketika tempoh pinjaman tersebut, namun dia percaya kehadirannya sekali lagi bersama pasukan itu akan memberikan perbezaan ketara kepada pasukan.
"Sudah tentu saya sangat gembira apabila sekali lagi dapat dipinjamkan sebab saya pun dah pernah beraksi di Negeri Sembilan pada musim lepas dan saya tahu apa yang saya boleh buat di sini.
"Terima kasih kepada pihak pengurusan yang masih percayakan saya dan saya memang ingin menjaringkan seberapa banyak jaringan atau pun dapat melakukan bantuan gol”, katanya.
Dalam pada itu, Htet Aung tidak merasa tercabar dengan kehadiran dua lagi pemain sayap seperti Ikhwan Yazek dan Hadin Azman ke Negeri Sembilan.
Sebaliknya, dia percaya persaingan yang sihat akan dapat meningkatkan lagi potensi dirinya untuk lebih bekerja keras.
"Saya rasa tiada masalah pun untuk saya bersaing dengan mereka dan gembira dengan kehadiran mereka ke sini.
"Kami pun sudah macam adik-beradik di sini dan persaingan yang sihat ini adalah untuk membantu kelab ini juga.
"Apa pun, sokongan penyokong juga amat penting kepada kami dan saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa ada untuk kami," ujarnya.
Htet Aung telah bersama Selangor FC sejak musim 2021 dengan tujuh gol telah diraih secara keseluruhan sehingga musim 2022.
Bagaimanapun, prestasinya semakin tidak menentu sejak awal musim lalu sebelum akhirnya dipinjamkan ke Negeri Sembilan pada awal Ogos 2023.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28