PUCHONG - Kesulitan hidup dialami seorang wanita yang mencari nafkah seorang diri selepas suaminya tidak mampu bekerja akibat masalah kesihatan mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kinrara yang menyumbang sebuah kereta terpakai.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Nora itu sebelum ini menggunakan motosikal sebagai pengangkutan untuk ke tempat kerja dan menghantar tiga anak berusia antara lima hingga 11 tahun ke sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, keluarga Nora dibantu sejak 2022 ketika program Jelajah Kasih Ramadan yang memberikan sumbangan dan menyantuni golongan memerlukan.
Menurutnya, wanita itu membonceng motosikal untuk bekerja di sebuah kedai makan dan kadang kala pulang ke rumah hingga lewat malam.
"Motosikal sama juga digunakan untuk membawa anak ke sekolah dalam keadaan hujan panas. Bila anak sakit, ke klinik naik motor juga.
"Kami ambil keputusan bantu Nora peroleh lesen kereta. Boleh Nora buat kerja sambilan sebagai penghantar barang atau Grab.
"Saya cabar dia, kalau Nora dapat lesen, saya usahakan kereta," kongsinya di coretan Facebook.
Sze Han berkata, wanita berkenaan berjaya mendapatkan lesen memandu pada tahun lalu selepas setahun mencuba.
"Saya usahakan beberapa pihak untuk beri sumbangan supaya kita boleh dapatkan kereta terpakai.
"Syukur akhir tahun lalu, sebuah kereta telah dihantar ke Kinrara kepada Nora.
"Seperti orang lain yang pertama kali memandu kereta sendiri, Nora juga gugup. Isteri saya beri sedikit tunjuk ajar memandu sekitar Puchong selepas kereta sampai," kongsinya lagi.
Beliau berharap, bantuan diberikan itu sebagai suntikan semangat kepada anak-anak Nora untuk tekun belajar dan berjaya agar dapat membantu keluarga bila dewasa kelak.
Pada masa sama katanya, program Jelajah Kasih Ramadan akan diteruskan pada tahun ini bagi menyantuni keluarga asnaf di Kinrara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!