MESKIPUN agak jarang muncul di kaca televisyen tidak seperti awal pembabitannya dalam bidang seni, namun 'cinta' terhadap bidang lakonan tidak pernah padam.
Cuma perjuangannya dalam bidang perniagaan sejak lapan tahun lalu membataskan Dazrin Kamarudin untuk lebih aktif di lapangan seni.
Akui lelaki berusia 35 tahun itu, dia kini lebih selektif menerima apa sahaja tawaran yang datang kerana perlu memberi lebih komitmen terhadap perniagaan karpet miliknya, Al Aqsa Carpet.
"Saya tidak pernah bersara, cuma memperlahankan sahaja. Tidak dinafikan banyak tawaran yang datang walaupun saya sudah jarang muncul di kaca televisyen.
"Cuma perniagaan ini ibarat satu perjuangan dan sekiranya ada tawaran yang benar-benar menarik dan bersesuaian, saya sedia untuk mempertimbangkannya," jelas Dazrin yang kali terakhir berlakon dua tahun lalu bersama produksi Skop Production Sdn Bhd.
Tambah Dazrin, generasi muda juga kebanyakan lebih mengenalinya sebagai 'bos karpet' di aplikasi TikTok berbanding kerjaya sebenarnya sebagai pelakon.
Walaupun mengakui perlu bekerja keras menaikkan semula namanya dalam lapangan seni, dia lebih selesa menerima tawaran berlakon daripada kawan-kawan lama.
Berkongsi mengenai perniagaan itu, Dazrin berkata, dia menganggap perniagaan itu sebagai satu ibadah dan cuba membantu ramai orang.
Antara yang dilakukan adalah menukar karpet di masjid dan surau seluruh negara.
"Syarikat saya mementingkan masyarakat, terutamanya masjid dan surau. Mana-mana masjid yang tak cukup dana untuk menggantikan karpet baharu, kami akan tambahkan dana untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan selain menawarkan khidmat pemasangan karpet baharu.
"Ada juga yang kami taja, cuma kami tidak uar-uarkan perkara itu kerana saya berpendapat, itu adalah antara saya dan ALLAH SWT," jelasnya yang sudah bekerjasama dengan lebih 2,000 masjid di seluruh negara.
Bukan itu sahaja, bintang yang pernah terkenal menerusi drama Gerak Khas itu turut menyediakan juadah berbuka percuma terutamanya buat pelanggan.
"Bersempena Ramadan, kami menyediakan ruang berbuka puasa secara percuma di gudang kami setiap hari sepanjang bulan mulia ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28