SHAH ALAM - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM600 kepada empat keluarga di Hulu Langat sempena program Ziarah Sinar Kasih Ramadhan pada Isnin.
YBK dalam satu kenyataan berkata, pemberian bantuan itu bertujuan untuk menampung kos perbelanjaan berbuka puasa dan bersahur sepanjang Ramadan.
"Sumbangan pertama diberikan kepada wakil keluarga di Kampung Sungai Congkak iaitu Abdul Malek Abdul Rashid yang bekerja sementara sebagai anggota Rela kerana tidak boleh melakukan pekerjaan berat akibat kecederaan di leher.
"Pendapatan bulanan beliau adalah RM360 dan isterinya terlantar sakit disebabkan kecederaan parah berpunca daripada kemalangan pada Oktober 2022.
Hadir sama Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz; Pengerusi Program SKR, Dr Hartini Osman; Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Halim Wahab; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Zulinda Haron dan Penolong Kanan HEM Sekolah Kebangsaan Kuala Pomsom.
Penyerahan sumbangan kepada setiap keluarga telah dilaksanakan oleh Pengasas YBK, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Tambah kenyataan tersebut, penerima ketiga adalah Halim Bunut yang tinggal di Kampung Orang Asli Kampung Padang dan mempunyai pendapatan RM400 sebulan.
"Beliau menyara keluarganya dengan bekerja mengutip hasil hutan untuk jualan dan membuat kerja kampung. Isterinya, Selimah tidak bekerja dan menghidap sakit darah tinggi, manakala salah seorang daripada anak mereka OKU masalah pembelajaran.
"Akhir sekali, penerima keempat iaitu Mohd Nazri dari Kampung Kuala Pansun Batu 22 1/2 yang mempunyai tujuh anak dan isteri tidak bekerja dengan pendapatan bulanan hanya RM700," jelasnya.
Dalam pada itu, pihak YBK menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua individu dan organisasi yang menyumbang untuk program Sinar Kasih Ramadhan tahun ini.
Ujarnya, penyerahan sumbangan sedang berlangsung dan dijangka selesai dalam minggu pertama Ramadan kepada jumlah keseluruhan 200 keluarga.
"Sumbangan kepada program Sinar Kasih Ramadhan 2024 masih dibuka dan boleh disalurkan ke Yayasan Basmi Kemiskinan di nombor akaun 1005 0540 0000 3480 (MBSB Bank Berhad).
"Kaedah sumbangan adalah melalui cek atas nama Yayasan Basmi Kemiskinan, deposit tunai atau perbankan dalam talian dan resit pengecualian cukai akan diberi jika diperlukan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28