Wanita berpantang, bayi lima hari tumpang teduh di pondok terbiar

Iklan
Sebuah pondok terbiar yang dijadikan tempat berteduh keluarga berkenaan.

SHAH ALAM - Sebuah keluarga termasuk wanita berpantang serta bayinya berusia lima hari menjadikan pondok terbiar sebagai tempat mereka berteduh sejak dua bulan lalu.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu hantaran memaklumkan, pondok terbiar itu tiada bekalan elektrik dan air selain ruang tidur sempit dan tempat memasak hanya berada di luar.

Iklan
Iklan

Menurut LZS, keluarga itu menggunakan air tadahan hujan sebagai sumber utama untuk keperluan minuman dan mandi.

"Lebih menyayat hati, keluarga ini baru sahaja menimang cahaya mata perempuan berusia lima hari.

Iklan

"Dengan keadaan tempat sangat panas serta pengudaraan kurang baik menyebabkan bayi mereka kerap menangis kerana tidak selesa," kata kenyataan itu pada Rabu.

LZS memberitahu, pada asalnya, pondok itu merupakan gerai menjual pisang goreng dan makanan yang kemudiannya diubah menjadi tempat berteduh.

Iklan

LZS memaklumkan, pihaknya menerima aduan daripada Amil Kariah Cheras Jaya mengenai kedaifan keluarga berkenaan.

LZS menjelaskan, hasil semakan mendapati, suami kepada wanita itu yang berasal dari Sabah telah diberhentikan kerja setelah kontrak kerja tamat sejak empat bulan lalu.

"Suami wanita itu juga tidak mempunyai MyKad dan hanya memegang sijil kelahiran dan sedang dalam proses JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) menyebabkannya sukar mencari pekerjaan lain.

"Sebelum ini, keluarga ini menginap di sebuah rumah sewa dengan bayaran RM600 sebulan, tetapi dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah disebabkan ketiadaan sumber kewangan dan nekad untuk berteduh di pondok sebagai tempat berlindung," tambah LZS.

Sehubungan itu, hasil perbincangan Amil Kariah Cheras Jaya dan LZS membuat keputusan menempatkan keluarga itu di sebuah inap desa sementara proses mencari rumah sewa baharu.

Menurut LZS, pihaknya diwakili Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat telah turun menyantuni asnaf tersebut dan memberi sumbangan berbentuk wang tunai untuk perbelanjaan makan minum dan kelengkapan bayi.

"Pemohon juga telah didaftar dan layak dikategorikan sebagai asnaf fakir serta akan diproses bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan makanan bulanan dalam masa terdekat," ujar LZS.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28