INTER Milan perlu bimbang rekod Atletico Madrid di laman sendiri ketika gergasi Serie A tersebut membuat persiapan untuk perlawanan kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara di Sepanyol, kata pengendali Simone Inzaghi.
Sebagai rekod, Inter mendahului 1-0 menjelang perlawanan menentang kelab yang belum tewas di Metropolitano dalam aksi La Liga musim ini, selain turut memenangi ketiga-tiga perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara.
"Atletico ternyata unggul di laman sendiri. Di La Liga, mereka akan berada di tempat pertama jika hanya bermain di laman sendiri, daripada 14 perlawanan, 13 kemenangan dan satu seri.
Dalam pada itu, Inzaghi mengakui tidak pasti taktikal permainan yang akan digunakan pengendali Atletico, Diego Simeone, namun bersedia untuk sebarang kemungkinan menanti di Madrid.
"Melihat musim ini, kami bermain dengan baik menentang pasukan yang menunggu kami sama seperti menentang pasukan yang lebih agresif.
"Kami tidak tahu apa yang Atletico akan lakukan di Metropolitano, mereka mempunyai pasukan yang sentiasa berubah semasa perlawanan.
"Mereka juga mempunyai pemain-pemain yang berkualiti, kami tahu ia akan menjadi sangat sengit dan kami perlu bijaksana menguruskan kesukaran yang bakal dihadirkan Atletico,” katanya.
Inter berada di landasan terbaik untuk memenangi kejuaraan Serie A, dengan kelebihan 16 mata berbanding AC Milan di tempat kedua dengan baki 10 perlawanan, sedang mencari peluang untuk mara dalam Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Manchester City pada final musim lalu.
LIGA JUARA-JUARA
PUSINGAN 16 TERBAIK
Perlawanan Kedua
KHAMIS (14 MAC)
Borussia Dortmund (1) lwn (1) PSV Eindhoven
Atletico Madrid (0) lwn (1) Inter Milan, 4 pagi
*Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28