PAKAR Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjangkakan perbelanjaan sepanjang Ramadan mampu mencecah RM30 bilion termasuk perbelanjaan di bazar, restoran dan hotel.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan umat Islam iaitu seramai 22 juta, dianggarkan separuh daripadanya akan membuat pembelian di bazar Ramadan purata sebanyak RM15 sehari.
Jumlah keseluruhan mereka yang berbelanja di bazar selama sebulan (30 hari) adalah RM5.4 bilion atau RM180 juta sehari.
Ujarnya, angka berkenaan adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lalu susulan jangkaan peningkatan jumlah masyarakat Islam yang akan membuat pembelian di bazar dan mungkin akan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.
Situasi ini acap kali berlaku setiap tahun di mana hampir separuh rakyat Malaysia mengeluh dan bimbang dengan kualiti makanan yang tidak setanding harga dijual.
Justeru, ramai orang mengambil keputusan memasak sahaja di rumah kerana mahu berjimat, namun masih ada yang membuat keputusan membeli di bazar kerana lebih mudah.
-- SOKONG
Beli barang basah bawah RM100 bertahan tiga hari
Saya dan isteri memang memilih untuk masak di rumah sahaja kerana makanan dijual di bazar Ramadan kebanyakannya mahal dan kualiti tidak berpatutan dengan harga.
Jika beli barang basah dengan kos bawah RM100 boleh bertahan untuk tempoh dua hingga tiga hari termasuk juadah berbuka dan sahur.
Berbeza jika beli di bazar, RM100 boleh dihabiskan dalam masa sehari dua sahaja dan belum termasuk sahur.
Walaupun bekerja dan tidak sempat untuk masak, kami hanya membeli makanan ringan seperti kuih-muih dan martabak sahaja kerana pada waktu malam isteri akan memasak lauk dan nasi untuk moreh serta sahur.
Jadi, sudah banyak kos perbelanjaan membeli dari luar sudah dijimatkan kerana kita semua tahu harga barang kebanyakannya sudah naik disebabkan peningkatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Jadi, ada peniaga terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos perbelanjaan tetapi bagi saya, selagi boleh jimat kita perlu berjimat.
- Anggota PDRM, Norazran Yussof, 36
Amal konsep buka puasa bersederhana
Saya memilih untuk memasak sendiri di rumah sepanjang Ramadan walaupun menu sama sahaja seperti hari biasa dengan anggaran kos sekitar RM50 sehari.
Jika membeli di bazar Ramadan, bimbang berlaku pembaziran kerana kadang-kadang kita tidak dapat mengawal perasaan melihat juadah yang ada di luar.
Selepas berbuka, kita akan solat Maghrib dan tidak boleh mengambil jumlah makanan yang banyak sementara jika masak sendiri, kita boleh hadkan kuantiti makanan.
Amalan memasak ini memang tradisi keluarga sejak dulu lagi dan kami jarang membeli makanan dari luar kerana jumlah ahli keluarga yang besar sudah pasti akan memakan kos tinggi.
Untuk juadah ringan seperti kuih-muih pun tidak perlu beli di bazar kerana emak akan buat sendiri dan lebih menjimatkan kerana harga bahan mentah lebih murah berbanding yang siap dimasak di luar.
Memang di bazar banyak pilihan tetapi kalau diperhatikan, hampir semua gerai menjual menu sama sahaja.
- Perunding Latihan, Zurina Salakin, 35
-- BANGKANG
Beli di bazar Ramadan lebih mudah dan cepat
Saya memilih membeli sahaja di bazar kerana letih bekerja dan menghadapi kekangan waktu untuk memasak, jadi terpaksa juga ke bazar.
Walaupun ada berpendapat memasak lebih menjimatkan tetapi ada juga yang merasakan membeli di bazar lagi berbaloi.
Mahal atau murah, semuanya bergantung kepada individu itu sendiri untuk menentukan kuantiti makanan dibeli sama ada mengikut kehendak atau keperluan.
Kadang-kadang RM30 sahaja sudah cukup untuk sehari, itu pun sudah lebih daripada cukup untuk membeli makanan yang kita mahu atau teringin.
Keadaan ekonomi sekarang ini memang merunsingkan tetapi kita sebagai pengguna perlu bijak dalam mengawal perbelanjaan bagi mengelakkan pembaziran.
Beli makanan dan minuman perlu sahaja, tidak perlu berbagai jenis dalam masa sehari kerana pada kebiasaan kita gagal mengawal nafsu dan akhirnya lebihan makanan dibuang begitu sahaja.
- Bekerja sendiri, Nur Hasmalynda, 35
Bazar lebih banyak pilihan makanan
Bagi yang masih bujang dan bekerja, bazar Ramadan adalah pilihan paling cepat serta mudah mendapatkan menu berbuka puasa kerana mempunyai pelbagai pilihan makanan.
Kebiasaan untuk diri sendiri sahaja lebih kurang dalam RM15 termasuk minuman tetapi jika membeli kudapan ringan boleh mencecah RM30.
Semua ini bergantung kepada kehendak individu itu sendiri, berbelanja ikut keperluan bukan kehendak dan nafsu semata-mata.
Selain itu, orang ramai digalakkan memantau dari segi kebersihan gerai dan makanan demi mengelak keracunan makanan.
Peniaga diharap dapat menyediakan juadah dengan kuantiti dan kualiti berpatutan kerana terlalu ramai peniaga meletakkan harga pada tahap melampau hanya untuk mendapatkan keuntungan.
- Pekerja swasta, Nur Syarafina Mohd Zahir, 31
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28