KUALA KRAI - Bulan Ramadan memberi rezeki berganda kepada seorang peniaga air tebu apabila meraih hasil jualan hingga RM3,000 melalui 2,500 batang tebu yang diproses.
Wan Mohd Zulhilmi Wan Mohd Noor, 43, berkata, jumlah itu diraih setiap kali bulan puasa sebelum ini sekali gus jauh berbeza berbanding RM700 sebulan yang biasa diperoleh melalui 300 tebu yang diproses menjadi air.
Menurut Wan Mohd Zulhilmi, dia sudah lima tahun menjalankan perniagaan air tebu di Kampung Lela Jasa di sini untuk menyara kehidupan bersama isteri dan lima anak mereka selain pendapatan perniagaan kedai makan.
"Setiap kali Ramadan, saya akan gandakan tempahan bekalan tebu yang diambil kerana air tebu mendapat sambutan yang sangat tinggi dalam kalangan penduduk setempat.
"Saya akan mula berniaga air tebu pada jam 3 petang hingga habis dan akan memperoleh kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di Kampung Lela Jasa, di sini pada Khamis.
Ujar Wan Mohd Zulhilmi, bekalan tebu diperoleh daripada penduduk kampung yang menanam tebu dan diambil secara berperingkat bagi memastikan kesegaran air tebu yang dijual kepada pelanggannya.
Dia berkata, kerja-kerja memesin tebu turut dibantu isterinya Rohayati Jaaffar, 46.
"Untuk menghasilkan air tebu yang manis perlu memilih tebu yang lebih tua atau matang kerana tebu muda tawar dan kurang air, manakala tebu juga perlu dibersihkan dahulu sebelum diproses menjadi air.
"Setiap batang tebu ini berharga RM2 dan saya akan proses tebu ini menjadi air yang akan dijual RM2 atau RM3 satu plastik tanpa ais,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28