SAAT Ramadan tiba, ramai yang berlumba-lumba untuk mengejar pahala berganda pada bulan penuh barakah itu.
Apatah lagi ketika itu, kebanyakan daripada kita akan mula bekerja awal dan pulang lebih cepat daripada kebiasaan.
Usah pelik jika kita melihat wajah-wajah ‘asing’ yang bertandang ke surau atau masjid. Barangkali rutin hariannya yang terlalu sibuk atau faktor lain menjadi kekangan buat mereka untuk mengimarahkan rumah ALLAH.
"Bulan puasa, baru nak cari Tuhan.”
"Baru nampak muka di masjid.”
"Bulan ini baru hendak baca al-Quran.”
Awas! Dialog-dialog sebegini sebaiknya dielakkan sama sekali.
Demikian peringatan dan teguran yang diberikan oleh seorang pengguna akaun X dikenali sebagai Muzuza.
Situasi itu mengingatkan Muzuza atau nama penuhnya, Muhammad Zulhusni Mohd Zaki kepada satu kalam yang dinisbahkan kepada Al-Hasan Al-Basri RA.
"Apabila seorang lelaki yang berulang kali melakukan dosa, kemudian taubat berulang kali, Al-Hasan Al-Basri tidak mengejeknya.
"Sebaliknya, beliau berkata ‘Tidak aku ketahui perkara ini melainkan ia adalah akhlak orang beriman’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran Fawaid Ulama yang dikongsikan di platform X miliknya baru-baru ini.
Sementara Ramadan masih berbaki lagi, Muzuza menganjurkan agar kita teruslah memberi kebaikan kepada semua orang.
"Berilah dorongan supaya semua orang kekal setia dengan amal soleh,” coretnya.