MELAKA - Seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila mendakwa sup daging yang dibelinya di sebuah bazar Ramadan Semabok pada petang Rabu, terdapat telur lalat.
Dia yang datang dari Johor Bahru singgah di bazar tersebut untuk membeli juadah berbuka dan selepas pulang ke rumah mendapati telur lalat di bahagian rongga tulang dalam bekas sup itu.
Menurutnya, niatnya meluahkan kekecewaan itu di media sosial, Facebook bukan untuk memalukan peniaga terbabit, namun agar peniaga lain juga berhati-hati supaya insiden seperti ini tidak berlaku lagi.
"Inikah yang dikatakan sedap? Daging berbau membuatkan saya sangat terkilan dan kecewa.
"Mohon sesiapa yang nampak post saya ini, kirimkan salam kepada penjual. Kita jumpa di akhirat," tulisnya lagi.
Dia juga mendakwa penjual itu berkeras menjual dua bekas dan memberikan satu lagi mangkuk sup kosong tanpa daging pada harga RM10 menyebabkan dia terpaksa akur.
"Saya hulurkan RM10 tetapi pakcik ini beritahu sup dagingnya sedap dan meminta saya ambil dua bekas sedangkan ia hanya untuk saya seorang," ujarnya.
Perkongsiannya berkenaan pengalaman malang itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat.
Sementara itu, seorang pengguna turut berkongsi pengalamannya membeli martabak daging di bazar sama pada harga RM7 sekeping namun mendapati juadah itu hanya mempunyai isi bawang serta kentang.
"Saya beli satu di gerai martabak daging RM7, isi daging tak ada, yang ada bawang dan kentang. Berniaga la dengan ikhlas ya, jangan nak untung cepat sangat pergi haji," luahnya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan reaksi peniaga terbabit mengenai dakwaan tersebut.