JOHOR BAHRU - Polis Johor melakukan siasatan berhubung penularan video di media sosial yang mendakwa dua anggota polis dari bahagian trafik Bangunan Sultan Iskandar (BSI) memeras ugut di kawasan pemeriksaan (check point) Johor Bahru- Singapura.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, melalui video hantaran tular itu, pasangan dari Singapura itu mendakwa telah diarahkan membayar sejumlah wang SGD142 atau RM500 kepada dua anggota tersebut.
Jelasnya, ia bagi mengelak tindakan saman dikenakan bagi kesalahan masuk ke laluan lori di kawasan pemeriksaan (check point) tersebut dalam kejadian sekitar jam 8.15 malam, Ahad lalu.
"Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa berhubung insiden tersebut. Permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk bantuan mengesan pemilik Facebook"Sage" dan penama"Irene Teo" bagi membantu siasatan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Tambah Kumar, Polis Johor komited memerangi jenayah termasuk salah laku yang dilakukan dalam kalangan pegawai dan anggotanya sendiri demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi," katanya.
Sebelum itu tular dua video berdurasi seminit 18 saat dan seminit 36 saat memaparkan kenderaan pasangan Singapura diarah menggunakan laluan sebelum ditahan sehingga mengakibatkan mereka terpaksa membayar sejumlah wang.