KAJANG - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperluas usaha pemuliharaan alam sekitar melalui kempen 'Go Green' yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, perkara yang akan difokuskan melalui kempen ini adalah penanaman pokok dan penukaran sisa makanan kepada bahan berguna seperti baja kompos.
Iklan
Iklan
"Dianggarkan lebih 16,000 tan sisa makanan dijana sehari di Malaysia dan 13,000 tan masih boleh dimakan.
"Malah kuantiti pembaziran tersebut cukup untuk memberi makan kepada 12 juta orang setiap hari, melihat kepada jumlah itu maka saya amat menyokong usaha yang dibuat hari ini iaitu memberi kesedaran awal kepada pelajar sekolah akan kepentingan memulihara alam sekitar melalui proses penyediaan baja kompos," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan ketika merasmikan Projek Khidmat Masyarakat Redirect: Bin 2 Garden dan Penyerahan Mesin Sisa Kompos Makanan kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Ramal Dalam pada hari ini.
Katanya, program pada hari ini merupakan anjuran pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kolaboratif beberapa agensi kerajaan dan swasta.
Terdahulu beliau menyerahkan mesin baja kompos sisa makanan tajaan pelbagai pihak kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam, Kajang.