Jangan sampai rumah siap, pahat masih berbunyi

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Sadek

MALAYSIA perlu menyediakan prasarana sukan berstandard Olimpik sekiranya mahu menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, jelas pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa.

Menurut beliau, kegagalan menepati piawaian itu secara tidak langsung memberi imej buruk kepada negara untuk temasya berprestij lain pada masa depan.

Iklan
Iklan

"Perjalanan atau pengendalian temasya edisi 2026, ini sebenarnya yang paling membimbangkan kerana kita hanya ada masa dua tahun sahaja melakukan persiapan.

"Sejujurnya apabila sesebuah negara itu mengambil tanggungjawab sebagai tuan rumah temasya besar seperti Sukan Komanwel, penganjur tiada pilihan selain untuk upgrade piawaian ikut Olimpik seperti di Birmingham 2022.

Iklan

"Kita tidak boleh mengambil ambil mudah dalam penyediaan prasarana seperti kemudahan kebajikan ala kadar untuk atlet dan pegawai, selain kemudahan fasiliti lain,” katanya yang mengakui untuk menganjurkan temasya tersebut memerlukan lebih RM9 bilion hingga RM12 bilion.

Pada masa sama tegas Mohd Sadek, penganjur boleh disifatkan cukup bernasib baik sekiranya imej atlet negara edisi 2026 mempamerkan keputusan positif.

Iklan

"Maksud saya positif dari segi perolehan pingat, itu akan akan menutup setiap kelemahan dan kekurangan sebagai hos sepanjang kejohanan.

"Namun, kemudahan sukan negara perlu ditutup bagi proses naik taraf ini secara tidak langsung mengganggu proses latihan atlet dan kos bertambah apabila atlet perlu berlatih di luar negara.

"Aspek ini perlu dipandang serius semua pihak apabila prestasi atlet berada tahap meragukan bertanding di temasya negara sendiri.

"Dengan persiapan atlet yang belum difokuskan untuk sasaran spesifik selepas temasya Sukan Olimpik Paris 2024, untuk kontinjen negara cemerlang di laman sendiri nampak samar,” katanya pada Rabu.

Pada masa sama Mohd Sadek berkata, kesiapsediaan pegawai pertandingan dan sukarelawan juga perlu berada pada tahap terbaik kerana sesuai dengan piawaian Olimpik.

"Ini juga antara keperluan penting kerana kali terakhir kita menganjurkan temasya sukan di negara ini adalah semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Temasya paling besar kita anjurkan sebelum ini adalah ketika Sukan Komanwel 1998, itu pun kita telah merancang lebih awal untuk lima tahun sebelum temasya.

"Ya, kita ada pengalaman, namun atmosfera semua itu telah berlalu Sukan Komanwel 1998 tidak sama dengan Sukan Komanwel 2026,” katanya pada Rabu.

Pada masa sama, Mohd Sadek juga menimbulkan persoalan mengapa Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) tidak menawarkan kepada Singapura untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.

"Ramai akan mempertikaikan kemampuan Singapura sebagai negara yang kecil, namun harus diingat mereka pernah menganjurkan Sukan Olimpik Belia 2010.

"Mengapa kita tidak terfikir negara secanggih Singapura yang pernah menganjurkan perlumbaan Formula Satu, tidak ditawarkan tuan rumah Sukan Komanwel 2026, selepas penarikan diri Victoria, Australia?

"Saya percaya berkemungkinan besar Singapura awal-awal lagi menjangkakan kedatangan pelancong, penajaan, dan peluang pekerjaan dari penganjuran Sukan Komanwel tidak menguntungkan selain terikat spesifikasi ketat dikenakan CGF,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau sebaliknya, dijangka dibawa untuk perbincangan di Kabinet pada minggu depan.

Jelas Menterinya, Hannah Yeoh pada masa ini, beliau tidak mahu mendahului perbincangan Kabinet namun beliau yakin bahawa kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung perkara berkenaan, menurutnya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat pada Rabu.