MUAR - [DIKEMAS KINI] Spesies udang kara air tawar Red Claw atau Blue Crayfish (cherax quadricarinatus) berasal dari Australia dikesan semakin banyak di perairan di sekitar Mukim Ayer Hitam.
Video tular @Abg Ikan di TikTok menunjukkan udang kara berkenaan ditangkap dalam jumlah yang besar menggunakan bubu di perairan Mukim Ayer Hitam.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab berkata, udang kara air tawar tersebut merupakan spesies invasif yang akan memakan telur ikan serta anak ikan yang ada di perairan sesuatu tempat.
Jelasnya, Jabatan Perikanan memandang serius kemasukan spesies tersebut dan langkah berjaga-jaga dilakukan bagi memastikannya tidak invasif dan menjadi pemangsa kepada spesies-spesies tempatan sekiranya ia terlepas ke perairan luar.
"Untuk pengetahuan, akibat mudahnya udang kara air tawar ini membiak, spesies ini telah memenuhi kebanyakan perairan ini seterusnya telah mengancam spesies asal di perairan ini.
"Antara spesies yang asal di perairan mukim Ayer Hitam ini adalah keli, haruan, sepat dan pelbagai lagi ikan lain yang diminati oleh penduduk setempat.
"Namun disebabkan udang kara air tawar ini, semua spesies asal tersebut telah menjadi sangat kurang dan sukar diperolehi," ujar ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut beliau, Pejabat Perikanan Daerah Muar bersama Kelab Alam Sekitar Seri Sempadan dan Abg Ikan@ Norilham Hakim telah melaksanakan pelbagai kempen untuk menghapuskan populasi udang kara air tawar tersebut di perairan Mukim Ayer Hitam berhampiran Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara.
Selain itu, kerjasama turut dirancang adalah penduduk Mukim Ayer Hitam mengumpulkan udang kara mereka yang ditangkap ini dan peraih yang dikenal pasti akan datang untuk membeli hasil tersebut.
"Namun apa yang berlaku, pembeli udang kara tersebut meletakkan harga yang rendah dan menyebabkan penduduk tidak rasa berbaloi untuk menangkap udang kara tersebut.
"Begitu juga dengan peraih yang memberikan harga sangat rendah dan kadangkala tidak datang pada masa yang ditetapkan menyebabkan udang kara tersebut menyebabkan ia mati begitu sahaja," ujarnya.
Justeru, cadangan dibangkitkan termasuk dari aspek pemasaran udang kara air tawar yang ditangkap dan mempelbagaikan menu masakan supaya lebih ramai minat dengan menu hidangan haiwan tersebut.
"Langkah ini secara langsung akan meningkatkan permintaan udang kara air tawar di pasaran tempatan.
"Seterusnya, spesies invasif ini dapat dikeluarkan dari perairan umum hingga tiada lagi udang kara tersebut," katanya.
Untuk rekod, udang kara air tawar (Red Claw) atau Blue Crayfish (cherax quadricarinatus) mempunyai warna yang menarik iaitu kebiru-biruan dan berbintik putih.
Spesies itu paling sesuai hidup di air tawar dalam keadaan pH 7 dan saiz matang udang ini adalah dalam lingkungan 8 inci hingga 14 inci.
Ia telah diperkenalkan di seluruh dunia sebagai spesies peliharaan dan industri akuakultur.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28