Balu bomba bantuan sebak terima manfaat PERKESO

Iklan
Farihah (kanan) bersama Hassan (kiri) ketika bertemu keluarga itu di Kampung Kubang Tepak, Manir, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Balu kepada anggota bomba bantuan yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Januari lalu tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak apabila menerima manfaat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Khamis.

Noor Suhaila Soufi, 25, yang merupakan balu kepada Mohamad Amirul Asraf Sulong, 34 serta anaknya, Mohammad Ayden Mikhail, 4 layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat kerana arwah suaminya pernah mencarum dengan PERKESO dan dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Rakaman gambar Noor Suhaila (kiri) bersama suami, Allahyarham Mohamad Amirul Asraf ketika hari perkahwinan mereka pada 2019.

Iklan
Iklan

Ibu tunggal tersebut layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 serta FOT sebanyak RM1,395 berbentuk pencen bulanan seumur hidup untuk dirinya, sementara anaknya sehingga berusia 21 tahun atau ijazah pertama.

Menurut Noor Suhaila, manfaat diterima terutama FOT yang disalurkan secara bulanan itu amat membantu meringankan bebanan mereka berdua termasuk membuat dalam persediaan menyambut kedatangan Aidilfitri dan modal perniagaan.

Iklan

"Sebenarnya saya tak sempat lagi nak fikir pasal persiapan Hari Raya Aidilfitri sebab kemalangan menimpa suami masih baru jadi kita tak dapat nak buat apa-apa persiapan.

"Dengan duit yang diterima ini saya berhasrat gunakan untuk membayar ansuran bulanan motosikal Yamaha Y15 milik suami berjumlah RM207 dan dijadikan sebagai modal perniagaan.

Iklan

"Motosikal tu arwah baru beli dalam tempoh sebulan sebelum ditimpa kemalangan. Arwah sempat pakai sebulan je itu pun dia bawa dua, tiga kali sahaja sebab dia sayang nak guna," katanya yang berniaga kuih-muih.

Penyampaian faedah PERKESO itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari di kediaman keluarga Noor Suhaila di Kampung Kubang Tepak, Manir, di sini.

Allahyarham Mohamad Amirul Asraf terlibat nahas jalan raya pada 15 Januari lalu setelah kereta dipandu dilanggar sebuah kereta lain di hadapan Balai Bomba Wakaf Tapai di Marang.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan untuk bertugas dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 29 Januari lalu akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Sementara itu, Pengarah PERKESO negeri, Farihah Che Husin berkata, manfaat diterima keluarga arwah diharap dapat membantu mereka menjalani kehidupan harian dan mengurangkan bebanan perbelanjaan.

"Allahyarham Mohamad Amirul Asraf merupakan antara 3,223 sukarelawan bomba yang mendaftar di seluruh negara.

"Semakan mendapati arwah telah dicarumkan dan dilindungi SKSPS di bawah pakej SPS Madani yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui inisiatif 2023 dengan tempoh perlindungan bermula 29 September 2023 hingga 28 September 2024," katanya.

Beliau berkata, menurut statistik seramai 12,914 Orang Bekerja Sendiri (OBS) telah mendaftar di bawah SKSPS di Terengganu dengan peningkatan 8.3 peratus pada tahun lalu berbanding 2022 yang mencatatkan rekod seramai 11,842 orang.

"Daripada jumlah itu sejumlah RM474,741.99 pampasan faedah telah dibayar kepada seramai 106 OBS dan waris sepanjang tahun lalu di negeri ini," ujarnya.