GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk berbincang berhubung Perjanjian Pengurusan Awam 2007 (Akta 672).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Exco Kerajaan Negeri telah diberi taklimat berhubung perkara itu beberapa minggu lalu.
"Saya boleh mengesahkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah memberi taklimat kepada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri (pada) beberapa minggu lepas.
"Pihak kerajaan negeri bersetuju untuk berbincang berhubung dengan perkara ini untuk melanjutkan perbincangan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Khamis.
Kon Yeow menambah, kerajaan negeri hanya akan membuat keputusan selepas perbincangan susulan mengenai penerimaan akta tersebut.
"Kita perlu melihat kelebihan dan kekurangan sebelum keputusan boleh dibuat," katanya.
Ditanya mengapa Pulau Pinang tidak menerima pelaksanaan akta tersebut sebelum ini, Kon Yeow berkata, sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah mempunyai inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan negeri yang belum menerima pakai akta berkenaan.
"Ini bermula sebab mereka (kerajaan) inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan negeri yang belum menerima pakai (akta tersebut. Jadi kita menerima taklimat mereka.
"Sama ada keputusan dibuat tertakluk kepada perbincangan seterusnya. Ini semua dilakukan banyak negeri, cuma tinggal beberapa negeri belum guna pakai.
"Kita akan melihat perbandingan negeri yang terima pakai, negeri yang uruskan sendiri, apakah manfaat, kelebihan, kekurangan dan lain-lain. Kalau boleh kita teliti sebelum keputusan dibuat," kata Kon Yeow lagi.
Pada Ahad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Pulau Pinang mungkin menjadi negeri ke sembilan menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) selepas Selangor yang secara prinsip sudah menyatakan persetujuan mahu mengguna pakai akta itu.
Kor Ming berkata, setakat ini tujuh negeri mengguna pakai akta terbabit, selain Selangor yang sedang dalam fasa mengkaji untuk menerima pakai akta itu apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara prinsip menyatakan perkenan untuk menerima pakai akta itu pada satu sesi menghadap.
Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Akta itu untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.