Dua pangkalan haram di Pengkalan Kubor diroboh

Iklan
Antara pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Kelantan yang dirobohkan pihak berkuasa, baru-baru ini.

SHAH ALAM - Dua pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Kelantan, yang dipercayai aktif bagi aktiviti penyeludupan telah dirobohkan, baru-baru ini.

Operasi perobohan pada 7 Mac itu dijalankan secara kolaborasi membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan dan beberapa agensi lain.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, perobohan itu dibuat berdasarkan arahan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak sebagai langkah membanteras aktiviti penyeludupan seperti dadah, migran mahu pun kontraban.

"Langkah perobohan ini merupakan signal awal pihak berkuasa dalam usaha membanteras aktiviti tidak sihat di sempadan negara.

Iklan

"Ini menunjukkan komitmen kuat kerajaan Malaysia ke atas sebarang aktiviti penyeludupan haram," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, MKN Negeri Kelantan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perobohan dua pangkalan haram terbabit.

Iklan

Dalam pada itu, Sinar Harian juga difahamkan operasi perobohan pangkalan haram dan laluan tikus turut melibatkan semua negeri sempadan dengan negara jiran, Thailand.

Laporan khas Sinar Harian mengenai isu pangkalan haram dan pencerobohan di sempadan negara pada 26 Februari lalu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membincangkan langkah bagi menghapuskan semua bentuk kemudahan logistik haram termasuk pangkalan haram di sempadan negara yang berisiko untuk menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.

Pada 12 Februari lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan tiga tangkapan transporter dari 'Geng Bob' dan modus operandinya yang menjadikan terminal bas di Kota Bharu sebagai lokasi transit PATI.

Berikutan itu, Sinar Harian telah melakukan beberapa siri tinjauan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan membabitkan lokasi pangkalan haram yang dikesan mudah membawa masuk atau keluar penumpang sama ada tempatan atau Thailand.

Antara pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Kelantan yang dirobohkan pihak berkuasa, baru-baru ini.

Ia sekali gus merisikokan negara dengan aktiviti penyeludupan migran asing dan kontraban atas faktor jarak Sungai Golok yang dekat.

Susulan itu, Sinar Harian dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di sebuah rumah penampungan di Demit, Kota Bharu, pada 21 Februari lalu, yang membawa tangkapan penjaga rumah, transporter dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Siri kedua operasi pada 24 Februari kemudian turut membawa tangkapan dua lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Ali dan Rahim di sekitar Kota Bharu yang menjadi dalang utama sindiket PATI.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28