Raikan kehebatan warga pendidik bersama Taylor’s College

Iklan

SUBANG JAYA – RISE Educator Award kini kembali untuk tahun keempat, dengan meneruskan misi untuk meraikan dan mengiktiraf jasa-jasa hebat pendidik negara yang memberikan sokongan kepada pelajar dalam mencapai pendidikan berkualiti dan saksama.

RISE Educator Award ini dianjurkan oleh Taylor’s College dan bahagian penglibatan pelajarannya, The Risers dan pencalonan dibuka bermula dari 18 Mac 2024 hingga 17 April 2024.

Iklan
Iklan

Jemputan ini terbuka kepada semua untuk mencalonkan guru-guru melalui penyertaan penulisan cerita sepanjang 100 patah perkataan yang menggambarkan impak dan perbezaan yang dibuat dalam kehidupan pelajar mereka.

Tahun ini, penerima RISE Educator Award akan menerima wang tajaan sebanyak RM20,000 untuk menyokong usaha mereka dalam membentuk persekitaran pendidikan yang positif di sekolah.

Iklan

Menurut Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan, akronim RISE melambangkan Remarkable Impact in Student Education, yang menekankan peranan penting pendidik dalam membentuk kehidupan pelajar dan memupuk pendidikan inklusif.

"Taylor's College tetap komited dalam menyokong warga pendidik yang bersemangat dan menginspirasikan pembelajaran yang memberi kesan dengan meningkatkan sumbangan bagi RISE Educator Award.

Iklan

"Tujuan kami adalah untuk memberdayakan guru-guru bagi menyebarkan misi mereka dan mencipta kesan yang positif dalam bilik darjah serta komuniti," ujarnya.

Pemenang RISE Educator of the Year 2023, Cikgu Kumaresan Muniandy dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok di Kedah, telah menggunakan wang tajaan dari Taylor’s College untuk mengubahsuai Pusat Latihan Rumah Tiruan (Mock House Training Centre) sekolah tersebut dengan barangan keperluan rumah.

Cikgu Kumaresan (kiri) komited untuk menyediakan pekerjaan yang saksama untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas dengan projek kedai dobi dan Pusat Latihan Rumah Tiruan di sekolah.

Malah beliau juga turut memperkasakan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dengan mesin-mesin bertaraf industri.

Langkah-langkah berkenaan selaras dengan tujuan Cikgu Kumaresan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang saksama demi memastikan pelajar-pelajar berkeperluan khas dilengkapi, dilatih dan diberdayakan untuk pasaran pekerjaan.

Seorang lagi pendidik hebat, Cikgu Velerie Wheelervon Primus, penerima RISE Educator Award 2023, memimpin projek 'Bilik Terapi Sensory Bersepadu dan Projek Snoezelen' di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor.

Projek yang digerakkan beliau itu bertujuan untuk menampung dan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas dengan autisme dan ADHD kerana kemudahan pembelajaran untuk keperluan pendidikan khas adalah terhad.

Kegigihan Cikgu Velerie (kanan) dalam mendidik pelajar di SK Bingkor memberi inspirasi kepada ramai orang.

Dengan kawasan-kawasan yang dikhaskan bagi pengalaman multi-sensori yang direka khas untuk pelajar-pelajar, Cikgu Velerie berjaya menyediakan ruang yang selamat dan mesra untuk kesejahteraan keseluruhan mereka.

"Inisiatif-insiatif yang mencetuskan inspirasi ini mencerminkan dedikasi dan keperihatinan warga pendidik negara kita yang melampaui kaedah pengajaran konvensional untuk mencipta pengalaman bermakna bagi pelajar mereka.

"Melalui RISE Educator Award, kami berharap naratif-naratif yang memberi impak ini menjadi sumber inspirasi bagi pendidik di seluruh negara dan dunia. Pada hakikatnya, di sebalik setiap pendidik yang bersemangat adalah kisah ketabahan, ketahanan, dan komitmen yang teguh untuk membentuk minda.

"Kami menggalakkan semua untuk menyertai kami dalam meraikan dan mengiktiraf para pendidik kami dan usaha mereka untuk memperkukuhkan usaha mereka serta terus menginspirasi pembelajaran yang berkesan," ujar Josephine lagi.

RISE Educator Award mengiktiraf pendidik yang hebat dan penuh inspirasi. Orang ramai boleh mencalonkan guru-guru dari pelbagai peringkat pendidikan di negara ini, termasuk sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan, prasekolah, sekolah swasta serta antarabangsa, yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam komuniti sekolah mereka.

Daripada pencalonan tersebut, 10 guru yang paling memberi impak akan disenaraikan dan profil mereka akan dipaparkan di platform media sosial Taylor’s College untuk diundi oleh masyarakat.

Lima guru dengan undian tertinggi akan melangkah ke peringkat akhir, dengan undian tersebut menyumbang 25 peratus kepada keputusan akhir.

Kisah-kisah mereka kemudian akan dinilai oleh panel juri, termasuk Ketua Pengawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng dan RISE Educator of the Year tahun 2023, Cikgu Kumaresan Muniandy, yang akan menilai usaha dan impak sumbangan guru tersebut, menyumbang 75 peratus untuk menentukan penerima RISE Educator Award 2024.

Selain hadiah utama berjumlah RM20,000 untuk sekolah pemenang, penerima RISE Educator Award 2024 akan menerima RM5,000 dan pencadangnya akan membawa pulang RM500 sebagai hadiah tunai.

Empat finalis lain masing-masing akan menerima wang tajaan berjumlah RM10,000 untuk sekolah mereka dan menerima hadiah peribadi wang tunai RM1,000, manakala pencadang akan menerima RM250.

Pencalonan untuk RISE Educator Award 2024 dibuka dari 18 Mac 2024 hingga 17 April 2024. Kesepuluh kisah yang disenaraikan akan diumumkan pada 22 April 2024 untuk pengundian oleh orang ramai.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Anugerah Pendidik RISE dan untuk mencalonkan seorang pendidik, sila layari https://college.taylors.edu.my/en/the-risers/rise-educator-award-2024.html.