KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menyelamatkan RM1.1 juta barangan kawalan daripada diseludup ke negara jiran.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan tempoh tiga bulan bermula Januari hingga Selasa.
"Rampasan itu melibatkan barangan seperti gula dan bahan api kenderaan iaitu petrol serta diesel.
"Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 67 tangkapan telah berjaya dilakukan oleh KPDN Kelantan hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain di negeri ini dalam membanteras aktiviti penyeludupan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 210 kes telah berjaya dihasilkan secara keseluruhan dengan nilai berjumlah RM3.1 juta.
Ujarnya, KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
"Dalam masa yang sama juga kami turut mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Ops Tiris 3.0 dan kerjasama Ops Bersepadu serta libat urus bersama agensi di sempadan negara dari masa ke semasa," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28