KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan 'Amundi' yang menawarkan keuntungan sehingga lebih 200 peratus kepada pelabur dalam tempoh 48 jam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 16 individu termasuk dua wanita berusia 21 hingga 70 tahun ditahan dalam operasi khas di Johor dan Sarawak pada 6 dan 7 Mac lalu.
"Individu itu berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik keldai akaun yang digunakan untuk menipu mangsa.
"Operasi turut merampas 20 unit telefon pintar pelbagai jenama, satu komputer riba, tiga keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan satu beg silang," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Ramli berkata, sebanyak 15 kertas siasatan sudah dibuka terhadap skim penipuan itu membabitkan nilai kerugian RM166,331,74.
"Sindiket itu menawarkan pelbagai pakej untuk menarik minat pelabur sebagai contoh pakej 'basic' dengan nilai pelaburan RM600 akan mendapat keuntungan RM8,500 dan pakej 'premium' nilai pelaburan RM900 dan akan mendapat keuntungan RM15,500.
"Terdapat dua pakej lagi yang menawarkan keuntungan yang sangat tinggi iaitu pakej 'crown' dengan nilai pelaburan RM1,800 dan akan mendapat keuntungan RM35,500, manakala pakej 'superconquer' dengan nilai pelaburan RM4,000 dijanjikan keuntungan sebanyak RM85,500," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain yang terbabit dalam skim berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28