Angka sebenar miskin tegar diketahui selepas PADU dikemas kini - Rafizi

Iklan
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Angka sebenar mengenai kumpulan miskin tegar dijangka diperolehi selepas sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) dikemas kini sepenuhnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ketika ini, jumlah miskin tegar yang dicatatkan menerusi laporan rasmi adalah 0.2 peratus daripada keseluruhan rakyat di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar kemiskinan tegar di negara ini mencatatkan penurunan kepada 0.2 peratus atau 18,445 isi rumah.

"Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) mencatatkan penurunan berbanding satu peratus pada 2020.

Iklan

"Data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula merekodkan pengurangan dengan jumlah isi rumah miskin tegar sebanyak 80,000 Ketua Isi Rumah (KR) sehingga akhir tahun lalu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah kemiskinan tegar yang tepat kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa ia akan dinoktahkan.

Iklan

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, konsep menoktahkan kemiskinan tegar adalah langkah yang diperhalusi Kabinet untuk mengambil pendekatan ekonomi selepas mengetahui jumlah sebenar di negara ini.

"Miskin sifar bermaksud kadar kemiskinan tegar yang dilaporkan setiap tahun daripada pelaporan rasmi negara sebagai data rasmi kepada dunia.

"Kini 0.2 peratus orang miskin tegar, maka kumpulan ini yang akan dipantau dan sudah tentu dari tahun ke tahun, jumlah ini akan berubah setiap tahun berdasarkan garis kemiskinan.

"Setiap tahun sasaran mengeluarkan individu miskin tegar ini berdasarkan pelaporan rasmi berkenaan tetapi sifar miskin atau menoktahkan tidak bermaksud tiada langsung orang miskin tegar kerana kemiskinan itu relatif. Kalau begitu, tidak perlulah ada zakat,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan tambahan Ismail mengenai data eKasih, Rafizi berkata, ia perlu dibersihkan dari semasa ke semasa kerana didapati ada penerima bantuan itu tidak mahu dikeluarkan daripada senarai walaupun pendapatan mereka bertambah baik.

"Kerajaan akan terus mengemas kini data eKasih untuk digabungkan dalam sistem PADU bagi membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat yang lebih baik dan tepat mengenai jumlah orang miskin tegar di negara ini,” katanya lagi.