Air Sungai Kelantan susut jejaskan sistem pengairan KADA

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KOTA BHARU - Kemarau yang sedang melanda ketika ini menyebabkan paras air Sungai Kelantan menyusut sekali gus menjejaskan sistem pengairan milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa berkata, situasi itu menyebabkan pam KADA di Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan bendang sekitar Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok, sejak hampir sebulan lalu.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, KADA tetap melipat gandakan usaha bagi memastikan kerja-kerja tanaman padi dibawah seliaan agensi itu tidak terjejas.

"Untuk makluman, kerajaan telah memperuntukkan RM7 juta untuk membaik pulih pam di Rumah Pam Kemubu, pembinaan telaga tiub, menyediakan pam mudah alih, 'backwards pam' dan pengagihan diesel kepada petani terlibat sebagai usaha mengatasi masalah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, sehingga kini agensi itu telah menyediakan 32 pam khas di keseluruhan kawasan KADA bagi membantu mangairi 2,400 hektar sawah petani.

Ujarnya, KADA turut menerima peruntukan berjumlah RM500,000 untuk pembinaan 100 unit telaga tiub.

Iklan

Mohd Faizul memberitahu, setakat ini sebanyak 26 unit telaga tiub sudah diwujudkan di seluruh kawasan KADA.

"KADA turut menjalankan kerja-kerja membersihkan mendapan serta lumpur untuk memudahkan pengaliran air ke 16,000 hektar sawah di bawah selian kami.

"Kami (KADA) berharap pesawah dapat mengikut arahan dan jadual penanaman padi yang dikeluarkan bagi mengelakkan kerugian dalam musim kemarau ini," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil tindakan segera atasi masalah para pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka dan pengeluaran beras negara.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, selain infrastruktur menjadi salah satu punca kemerosotan hasil padi di KADA, ada beberapa lagi faktor lain antaranya serangan serangga perosak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28