Kesuma tingkat had umur kelayakan SKSSR - Steven

Iklan
Steven (empat, kanan) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (empat, kiri) merasmikan Sambutan Hari Wanita Kesuma dan Karnival Kerjaya Wanita, MyFutureJobs Perkeso 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan meningkatkan had umur kelayakan wanita bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dari umur 55 tahun kepada 60 tahun bagi membolehkan lebih ramai layak mencarum.

Menterinya, Steven Sim berkata, perkara itu memerlukan pindaan akta dan sekiranya diluluskan akan memanfaatkan 720,600 wanita.

Iklan
Iklan

"Kesuma menyasarkan 500,000 wanita mencarum dalam SKSSR pada tahun ini, selepas 205,000 wanita berjaya mendaftar sebagai pencarum pada 2023,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Kesuma dan Karnival Kerjaya Wanita di sini pada Khamis.

SKSSR yang diperkenalkan pada 1 Disember 2022 meliputi tiga perlindungan utama iaitu bencana domestik, keilatan dan kematian dengan premium perlindungan serendah RM10 sebulan atau RM120 setahun.

Iklan

Selain itu, Steven berkata, 12,500 wanita yang bekerja di bawah Kesuma termasuk sembilan jabatan dan lima agensi berkaitan akan mendapat caruman SKSSR secara percuma.

"Jumlah ini turut melibatkan kakitangan lelaki yang mencarum bagi isteri mereka sebagai manifestasi kasih sayang serta penghargaan,” katanya.

Iklan

Terdahulu pada majlis tersebut, Kesuma melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM) bagi memberi galakan kepada caruman SKSSR selain membantu banyak lagi wanita.

Sebanyak 10 syarikat swasta mengambil bahagian dalam inisiatif menaja caruman SKSSR yang berjumlah RM558,360 dan akan memanfaatkan 4,864 wanita dari golongan B40 eKasih. - Bernama


Kesuma teliti skim perlindungan keselamatan sosial 24 jam, insurans penjagaan warga emas

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang membuat kajian dan penelitian untuk memperkenalkan skim perlindungan keselamatan sosial yang berkuat kuasa 24 jam dan Insurans Jangka Panjang (LTCI) bagi penjagaan warga emas.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, usaha bagi menyokong agenda ekonomi ihsan Malaysia Madani itu, bagaimanapun perlu mempertimbangkan pelbagai kekangan termasuk kos caruman setiap individu.

"Sememangnya visi Kesuma adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam dan menyeluruh kepada kumpulan pekerja khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

"Saya akan memberikan maklum balas dan kemas kini dari semasa ke semasa untuk skim-skim berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kesuma di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, pada tahun ini kerajaan juga perlu mengkaji semula perintah gaji minimum seperti yang tertakluk dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang memperuntukkan perkara itu dikaji sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

"Kita akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan dan pekerja serta mengambil rujukan laporan-laporan sosioekonomi seperti laporan Bank Negara," katanya.

Sementara itu, Steven menafikan jumlah pekerja asing dalam bidang profesional dan berkemahiran kini melangkaui jumlah siswazah tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan data pada tahun lepas, bilangan pekerja mahir tempatan ialah 2.236 juta orang, jauh lebih besar daripada jumlah pegawai dagang asing atau ekspatriat yang mempunyai pas aktif iaitu 109,707 orang.

"Jumlah ini (pegawai dagang asing) hanyalah 4.9 peratus daripada keseluruhan pekerjaan mahir yang wujud di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Steven berkata pengambilan ekspatriat perlu dilihat sebagai satu daripada strategi pemindahan ilmu dan teknologi untuk memperkasa tenaga kerja tempatan.

"Berlandaskan strategi pemindahan ilmu dan teknologi, KESUMA sedang merancang satu dasar untuk mewujudkan peluang perantisan kepada anak tempatan bagi syarikat yang mengambil pekerja ekspatriat," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28