KOTA BHARU - Nampak manis dan berkilat namun bukan mudah untuk dihasilkan.
Itulah manisan tuak kelapa yang dihasilkan menggunakan kaedah tradisional di Kampung Pulau Gajah di sini.
Bermula dengan pengambilan air tuak kelapa sehingga proses memasak, semuanya memerlukan kesabaran yang tinggi.
Bagaimanapun, itu bukan alasan Wan Omar Wan Awang atau lebih dikenali sebagai Tok Wan yang masih membuat manisan itu walaupun sudah mencecah usia 80 tahun.
Bapa kepada 11 anak dan puluhan cucu serta cicit itu tidak senang duduk jika tidak memasak manisan itu walaupun kadang-kadang diduga dengan masalah kesihatan.
"Kalau setakat demam sikit-sikit, Tok Wan tetap keluar cari tuak. Kalau tidak keluar, demam semakin teruk.
"Tuak pun Tok Wan ambil sendiri. Panjat pokok. Masa awal tahun 30-an boleh panjat lebih 20 pokok tapi sekarang setakat 10 saja.
"Dua kali panjat, pagi dan petang. Sebab Tok Wan akan guna tuak yang baru supaya rasa asli manisan itu tidak hilang. Kualiti paling penting," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Bahang panas daripada api tidak menjadi masalah kepada Tok Wan walaupun hanya memakai kain pelekat dan tidak berbaju ketika proses memasak tuak.
Kata Tok Wan, asap dari kawah manisan yang memedihkan sebenarnya membuatkan badan lebih bertenaga.
Menceritakan bagaimana dia boleh mempelajari ilmu pembuatan manisan tersebut, Tok Wan memberitahu, ia bermula ketika usianya masih kecil dan selalu selepas melihat beberapa penduduk kampung memasak manisan tersebut.
"Masa kecil dulu, Tok Wan tidak ada duit nak beli gula-gula seperti orang lain. Jadi Tok Wan akan pergi tunggu dan tengok orang kampung buat manisan. Manisan itulah yang Tok Wan makan sebagai ganti gula-gula.
"Tok Wan sanggup tak makan nasi asalkan dapat makan manisan. Sanggup tunggu tepi kawah sampai tiga jam semata-mata untuk ambil kerak manisan.
"Zaman dulu, dapat makan manisan pun cukup baik. Bukan mudah. Zaman sekarang macam-macam gula-gula ada. Tapi gula-gula manisan juga yang jadi pilihan," katanya.
Bercerita mengenai proses pembuatan manisan, Tok Wan berkata, dia akan keluar awal pagi untuk mencari tuak dan pulang sekitar jam 12 tengah hari.
Sementara Tok Wan keluar, isterinya, Wan Yoh Wan Ismail atau Mok Wan, 73, akan membantu meleraikan daun mengkuang untuk dijadikan bekas mengisi manisan bagi proses penyejukan.
Tok Wan memberitahu, bukan mudah menghasilkan daun mengkuang yang baik kerana memerlukan beberapa proses yang rumit.
"Daun mengkuang susah nak dapat. Kalau ada pun Tok Wan akan pastikan daunnya elok. Selepas ambil daun perlu basuh bersih dan dikeringkan. Daun itu juga perlu diluruskan dan digulung untuk memudahkan proses mencarik.
"Selepas itu ia perlu disalai untuk memastikan ia benar-benar kering dan sedia digunakan. Proses terakhir ialah koyakkan ia menjadi jalur pendek dan satukan hujung kedua-daun untuk dijadikan bentuk bekas bulat,"katanya.
Mok Wan berkata, dia juga menghadapi cabaran ketika proses pengeringan daun mengkuang kerana daun tersebut berduri tajam.
Harga jualan yang cukup murah bagaikan tidak dapat membayar penat lelah dan kesungguhan Tok Wan dan isteri membuat manisan tersebut.
Bagaimanapun, itu bukan ukuran kerana membuat manisan itu membantu menyara mereka sekeluarga sehingga kini dan semua anak-anak hidup sempurna serta mendapat pekerjaan yang baik.