[VIDEO] Kerajaan setuju pinda syarat MM2H

Iklan

KLUANG - Kerajaan bersetuju meminda beberapa syarat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menarik lebih ramai peserta dari luar negara menyertai program itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu bukan sahaja membabitkan permohonan, tetapi juga kadar simpanan tetap dan jumlah pembelian hartanah dengan harga munasabah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perkara berhubung pindaan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JPKP) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang dipengerusikannya, pada Selasa.

Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Kluang pada Khamis.

"Pertama, jumlah simpanan tetap yang diwajibkan telah ditukar kepada tiga kategori membabitkan Platinum, Emas dan Perak, dengan jumlah bagi kategori Platinum ialah RM4.49 juta (AS$960,000).

Iklan

"Keduanya, kita juga dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) akan permudahkan permohonan MM2H dan melihat dari segi aspek keselamatan pemohon akan jadi perkiraan utama. Permohonan akan dapat kelulusan selepas borang diisi mengikut syarat dalam tempoh tiga hari bekerja.

"Ketiganya, kita menentukan moratorium syarat hartanah yang dibeli mesti tidak boleh dijual sebelum capai tempoh matang selama 10 tahun, sekurang-kurangnya. Keempat penyambungan visa peserta MM2H akan dibuat setiap lima tahun," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di pekarangan Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan juga akan memberikan kemudahan lain terutamanya dari segi pendidikan jika peserta MM2H ada anak untuk bersekolah di institusi pilihan mereka.

Menurut beliau, bagi Johor termasuk Forest City, kerajaan bersetuju untuk mempermudahkan lagi permohonan MM2H.

"Pindaan syarat MM2H yang dilakukan tanpa berkompromi dari aspek keselamatan," katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan MM2H untuk meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.

Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara.

Seterusnya, MOTAC sebelum ini dilaporkan melancarkan versi program MM2H yang telah diubah suai, yang kini mempunyai tiga peringkat iaitu Perak, Emas dan Platinum.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28