Laksana gaji minimum sektor pertanian

Iklan
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadhan 1445H di pekarangan Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Simpang Renggam pada Khamis. Foto Bernama

KLUANG - Pelaksanaan gaji minimum perlu dilakukan supaya mampu menarik pekerja tempatan terlibat dalam sektor pertanian termasuk industri pengeluaran sayur yang kini bergantung kepada pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh jangka masa panjang kerajaan mahu mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini termasuk dalam sektor 3D iaitu kotor (dirty), bahaya (danger) dan sukar (difficulty).

Iklan
Iklan

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri ( KDN) telah diarah untuk memantau isu tersebut.

"Menerusi mesyuarat kabinet sebelum ini, menjadi pertimbangan kerajaan mahu tenaga kerja tempatan. Namun sektor 3D ini kurang diminati oleh pekerja-pekerja tempatan kerana gaji rendah yang ditawarkan.

Iklan

"Oleh itu, bagi tempoh jangka masa panjang, kerajaan berhasrat mahu mengurangkan pekerja asing walaupun dalam sektor 3D, tetapi perlu lakukan tawaran gaji yang minimum agar tidak berlaku kekurangan bekalan sayur-sayuran begitu juga dalam sektor pembinaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam di sini pada Khamis.

Iklan
Ahmad Zahid hadir sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Kluang pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebelum ini, media melaporkan dua persatuan mewakili pengusaha sayur terbesar di negara ini menjangkakan harga sayur akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus mulai bulan depan sekiranya isu kuota pekerja asing terus membelenggu mereka.

Ia berikutan kekurangan pekerja asing yang kritikal masih dialami sektor berkenaan sehingga ia menjejaskan bekalan serta diburukkan lagi dengan langkah kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia menjangkakan bekalan mula terjejas bulan depan manakala Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands menjangkakan 'bekalan lebih buruk pada Mei dan boleh berlarutan hingga Julai'.