SHAH ALAM - Ikan 'kayangan' yang boleh mencecah ribuan ringgit seekor seperti kelah dan tengas antara spesies didapati mati akibat tangkapan dilarang oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab sepertimana tular di media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan hasil siasatan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui Pejabat Perikanan Daerah Hulu Perak, ia termasuk jenis terubuk, lampam dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan asli di Sungai Singor, Hutan Simpan Temenggor, Gerik, Perak.
Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya memandang serius mengenai video tersebut dan masih menjalankan siasatan bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
"DOF menyelar tindakan sekumpulan individu disyaki menggunakan kaedah dilarang menyebabkan kematian ikan yang banyak di Sungai Singor.
"Ikan kelah iaitu ‘Tor Tambroides’ merupakan spesies dilindungi di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992, Jadual Kedua Kaedah 3 (4) yang menyatakan larangan menangkap, membunuh dan memiliki kecuali mendapat kelulusan bertulis pegawai perikanan darat.
"Sesiapa yang melakukan kesalahan di bawah kaedah ini boleh disabitkan dan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan sekumpulan individu menunjukkan hasil tangkapan ikan yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.
Rakaman video berkenaan bagaimanapun menerima kecaman hebat daripada warganet kerana tidak berpuas hati dengan kaedah penangkapan ikan itu.
Adnan memaklumkan, antara kaedah penangkapan ikan yang dilarang di bawah Akta Perikanan 1985 adalah penggunaan arus atau renjatan elektrik, bom ikan, menuba ikan mahupun menggunakan racun.
Hal ini kerana menurutnya, ia berisiko merosakkan ekosistem habitat air tawar dan laut serta mengakibatkan kepupusan spesies asli yang menghuni kawasan terbabit.
"Kejadian tidak bertanggungjawab ini juga menjadikan kesinambungan ekosistem di kawasan tersebut terputus terutamanya lubuk habitat utama induk ikan sungai.
"Contohnya, kawasan untuk kelah dan tengas bertelur sehingga menghasilkan anak-anak ikan yang menjadi salah satu rantaian makanan di sungai ini.
"DOF sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani kes ini dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian FishCom 24 jam menerusi 03-8870 4058,” ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28