SHAH ALAM - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah memainkan peranan besar dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan di Selangor sejak diwujudkan 13 tahun lalu.
Peranan YIDE itu dijelaskan oleh Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor semasa sesi wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini yang memaklumkan yayasan itu tidak pernah tersasar daripada matlamatnya sejak ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2011.
Menyoroti sejarah tertubuhnya YIDE, beliau menyatakan ia bermula susulan lawatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli melawat mangsa kejadian tanah runtuh melibatkan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa di Hulu Langat pada 23 Mei 2011.
"Cadangan penubuhan YIDE itu kemudiannya dibawa dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Bil. 3/2011 pada 12 Jun 2011.
"Alhamdulillah, atas perkenan Sultan Selangor, YIDE diwujudkan manakala pengurusan dan pentadbirannya adalah di bawah Kumpulan MAIS Corporation,” kata beliau.
Secara asasnya, YIDE sentiasa berpegang kepada lima prinsip teras Maqasid Syariah iaitu Addin (agama), An-Nafs (nyawa), Al-Nasl (keturunan), Al-Aql (akal) dan Al-Mal (harta) dalam setiap perancangan serta pelaksanaan aktivitinya.
AGIHAN DAN SUMBANGAN
Mazlan berkata, pada 2014 MAIS kemudiannya memberi mandat kepada YIDE untuk melaksanakan program agihan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim di Selangor.
"Program ini menjadi sebagai program tahunan YIDE dan menguruskan semua hal-ehwal berkaitan anak-anak yatim Selangor yang sebelum ini di bawah pengurusan Bahagian Harta Baitulmal, MAIS.
"Setakat Disember 2023, terdapat seramai 9,081 anak-anak yatim individu dan juga 25 rumah anak yatim diselia dan disantuni YIDE dengan sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.4 juta,” katanya yang akan meneruskan program sama sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan anggaran penerima seramai 11,000 orang.
Bagi tahun 2024, YIDE katanya, akan mengadakan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di enam lokasi iaitu Rumah Anak Yatim Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Melaka pada 12 Mac; Masjid Nurul Iman Batu 10, Kuala Langat (16 Mac); Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Daerah Sabak Bernam (17 Mac) dan Masjid Nurul Iman Serendah di Hulu Selangor (23 Mac).
Selain itu, dua lagi lokasi iaitu di Masjid Taman Putra Perdana, Sepang dan Masjid As Syakirin, Gombak masing-masing akan diadakan pada 24 Mac serta 30 Mac.
Sumbangan tersebut akan disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan berangkat kesemua enam lokasi berkenaan.
KOMPLEKS DAN KEMUDAHAN
Selain bantuan dan sumbangan, YIDE juga berusaha menyedia serta menguruskan sebuah kompleks untuk anak-anak yatim di Pulau Indah, Klang seperti mana cadangan yang dipersembahkan kepada Raja Muda Selangor sebelum ini.
Pada Ogos 2019, cadangan pembangunan kompleks tersebut telah diperkenankan oleh Raja Muda Selangor dan kemudiannya melancarkan tabung wakaf khas untuk tujuan itu.
Berkonsepkan Islamik kontemporari, kompleks yang mampu menampung 200 anak yatim itu dilengkapi dengan kemudahan seperti asrama, dewan serba guna, surau, pusat komersial serta kemudahan sukan seluas satu hektar.
"Kompleks ini diharapkan menjadi yang paling moden di Selangor dengan kos pembangunan sejumlah RM17 juta, merangkumi kos pembangunan struktur dan kelengkapan.
"Setakat Februari lalu, kemajuan pembangunan dalam sembilan peratus siap meliputi kerja menanam cerucuk di tapak dewan serba guna, surau, kiosk dan pondok pengawal,” ujarnya yang menjangkakan kompleks itu akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2026.
Dalam perkembangan lain, YIDE turut mengambil alih serta mengurus selia enam pusat dialisis MAIS yang sebelum ini di bawah pengurusan MAIS Dialisis Sdn Bhd.
"Alhamdulillah, setakat hari ini keenam-enam pusat dialisis di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kuala Selangor, Kapar, Sungai Besar dan juga di Taman Malawati Link beroperasi dengan baik," jelas Mazlan.
Enam pusat dialisis itu menurut Mazlan, telah memberi manfaat kepada 266 orang pesakit buah pinggang setakat awal tahun 2024. Bagaimanapun, untuk membiayai kos rawatan pesakit yang kurang berkemampuan, sebanyak RM500,000 diperlukan setiap tahun.
"Justeru, kita berharap orang ramai dapat bersama-sama membantu usaha YIDE menyantuni anak-anak yatim serta menyediakan rawatan buah pinggang kepada orang kurang berkemampuan dengan menginfakkan kewangan serta harta mereka,” ujarnya.
Malah, sumbangan infak tersebut diberikan pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Memudahkan orang ramai, YIDE turut menawarkan pembelian Kupon Infak bernilai RM2 di 400 buah masjid di seluruh Selangor sepanjang Ramadan.
Selain itu, orang ramai juga boleh melaksanakan infak melalui potongan gaji, menggunakan aplikasi InfaqYIDE atau merujuk kepada laman sesawang rasmi YIDE di https://yide.com.my/.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28