Kerajaan pertama taja caruman pemandu teksi

Iklan
50,000 pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah dapat tajaan caruman penuh SKSPS. Gambar kecil: Kamarudin

SHAH ALAM - Pengumuman Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM1.165 juta untuk melengkapkan 100 peratus tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada seramai 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang bekerja sendiri membuktikan kerajaan menitikberatkan aspek keselamatan pemain industri terlibat.

Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, inisiatif dilaksanakan buat julung kali itu juga merekodkan sejarah apabila belum ada mana-mana kerajaan sebelum ini yang berbuat demikian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun ia tidak melibatkan jumlah yang besar untuk setiap seorang, manfaat yang bakal diterima adalah jauh lebih bernilai sebagai perlindungan kepada pemandu teksi khususnya.

"Walaupun kita nampak jumlahnya tak besar mana, tapi manfaat yang tersembunyi sebalik caruman itu sangat besar sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku ketika kita memandu atau selepas pulang membawa teksi.

Iklan

"Sebelum ini ramai pemandu teksi yang meninggal dunia ketika sedang bekerja...sakit jantung...ada yang meninggal dalam kereta di tempat parkir tapi tak dapat sebarang pampasan.

"Terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Pada Rabu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kementeriannya bersetuju membiayai baki caruman sebanyak 10 peratus atau RM23.30 bagi melayakkan individu terlibat mendapat perlindungan selama setahun.

Tajaan tersebut terbuka kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang mempunyai kad pemandu serta lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) masih aktif.

Peruntukan pembiayaan berkenaan disediakan melalui hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ‘GOLD’.

Sehubungan itu, Kamarudin menyarankan semua pemegang lesen PSV dan kad pemandu supaya memperbaharuinya segera bagi melayakkan menerima manfaat inisiatif tersebut.

"Dengan inisiatif kerajaan buat ni, secara automatik semua akan dilindungi bawah skim pelindungan PERKESO dengan syarat lesen PSV mereka belum tamat tempoh, aktif dan kad pemandu mereka juga aktif,” katanya.

Kerajaan dalam Belanjawan 2024 memperuntukkan RM100 juta untuk Geran Padanan Caruman SKSPS yang dapat memanfaatkan 500,000 individu bekerja sendiri, dengan insentif caruman ditanggung kerajaan sebanyak 90 peratus.

Inisiatif itu dapat meringankan beban pencarum dengan hanya membayar baki 10 peratus iaitu RM23.30 untuk perlindungan selama 365 hari atau bersamaan enam sen sehari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28