'Jangan malu, datang sahaja ambil juadah berbuka'

Iklan
Seorang kakitangan di Hub Makanan Vendor @ Pintu Gerbang Homestay Lonek menunjukkan Meja Infaq Ramadan 2024.

JEMPOL-"Jangan malu, datang sahaja ambil ikut keperluan."

Itu yang dijelaskan Pengurus Operasi Hub Makanan Vendor @ Pintu Gerbang Homestay Lonek di sini, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar mengenai Meja Infaq Ramadan 2024 yang akan dimulakan pada Jumaat di hub makanan vendor berkenaan.

Iklan
Iklan

Meja Infaq Ramadan 2024 yang akan dimulakan pada Jumaat di Hub Makanan Vendor @ Pintu Gerbang Homestay Lonek,Jempol.

Katanya, melalui program ini, sesiapa sahaja sama ada pelanggan, vendor, peniaga yang datang boleh meletakkan makanan di meja infaq tersebut.

Iklan

"Usaha ini bertujuan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan atau golongan sasar kami untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dan mungkin ada menu yang boleh dibawa sehingga ke waktu bersahur.

"Mungkin mereka ini tidak mampu nak beli juadah berbuka hanya makan roti dan air kosong sahaja, atau berbuka puasa cukup-cukup sahaja disebabkan faktor kewangan, anak ramai, gaji lambat atau apa jua keadaan mendesak datanglah ambil," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Katanya, selain individu berkenaan mereka yang terdiri daripada golongan asnaf, miskin tegar, ibu tunggal, anak yatim, musafir dan mualaf juga dialu-alukan datang untuk mengambil juadah tersebut.

"Waktu ambil makanan pula bermula pada jam 6 hingga 7 petang atau sehingga makanan habis di ambil yang mana program ini berjalan setiap hari kecuali pada hari cuti Hub Makanan Vendor iaitu pada hari Isnin.

"Kenapa jam 6 petang, sebab kami kumpul dahulu sumbangan makanan dari vendor, peniaga atau pelanggan yang datang," katanya.

Dalam pada itu katanya, sekiranya ada lebihan makanan selepas jam 8 malam dan masih baik untuk dimakan, pihaknya akan menghantarnya ke surau atau masjid berdekatan untuk moreh.

"Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang dalam kesusahan dan memberikan keceriaan buat mereka semua.

"Justeru, jangan malu jangan segan, datang, ambil dan bawa lah pulang ikut keperluan jangan ada yang membazir," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28