KOTA MARUDU - Seorang kanak-kanak lelaki parah selepas tertusuk besi di bahagian leher dan dada ketika dalam perjalanan ke kedai runcit dalam kejadian di Kampung Tandek, di sini pada Khamis.
Mangsa berusia lima tahun dikejarkan ke Hospital Kota Marudu bagi mendapatkan rawatan sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan besi tersebut.
Ketua Balai Bomba (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.31 petang berhubung kejadian itu.
Menurutnya, seramai enam anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang berada di hospital.
"Menurut ibu mangsa, ketika kejadian mereka pergi ke kedai runcit namun tersadung dan terjatuh sebelum tertusuk besi.
"Pasukan bomba yang menerima panggilan tersebut segera membantu mangsa yang tertusuk besi di bahagian leher dan dada dengan memotong besi tersebut menggunakan peralatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Hasbi berkata lagi, selepas berjaya memotong besi tersebut mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 7.09 malam," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28