PEMAIN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyifatkan kekuatan mentalnya menjadi kunci kepada kejayaan menewaskan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England pada Khamis malam.
Dalam aksi di Utilita Arena, Birmingham itu, Zii Jia yang berada di ranking ke-10 dunia memperagakan aksi bertenaga untuk menundukkan juara dunia 2021 itu 21-15, 21-12 dalam masa 33 minit permainan.
Pemain berusia 25 tahun itu dilihat lebih banyak bersabar dan tenang dengan taktikal permainannya untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.
Malah strategi menyerang yang dipraktiskan Zii Jia turut menjadi apabila kerap kali memerangkap pergerakan lawan.
"Saya lebih banyak bersabar dan teruskan fokus di dalam gelanggang. Itu strategi saya.
"Pada masa yang sama saya juga menanti peluang untuk menyerang dan ia berhasil," katanya.
Pemain yang berasal dari Kedah itu bakal membuat perhitungan dengan pemain India, Lakshya Sen dalam saingan suku akhir malam ini.
Zii Jia turut mendedahkan mempunyai corak permainan yang sama dengan Kean Yew apabila saling bersaing secara sengit sesama mereka.
"Sebenarnya saya dan Kean Yew mempunyai satu persamaan, apabila kami berada pada tahap terbaik kami mampu mengalahkan sesiapa. Tapi bila kami tidak berada pada tahap sebenar, kami boleh kalah kepada sesiapa.
"Saya rasa kita boleh lihat Kean Yew tidak berada dalam tahap terbaik banyak kesilapan 'unforced' dari beliau. Apapun saya masih gembira dengan keputusan ini," katanya.
Zii Jia yang kecewa dalam Kejohanan Terbuka Perancis minggu lalu apabila tersingkir seawal pusingan pertama setelah tewas kepada pemain Denmark, Magnus Johannesen mendedahkan resipi kebangkitannya di Birmingham.
"Minggu lepas adalah satu perlawanan yang mengecewakan. Saya rujuk (bincang) dengan jurulatih, lihat di mana kami boleh baiki (kelemahan).
"Secara dasarnya minggu ini saya cuba mendapatkan tahap keyakinan dan setakat ini semuanya berjalan lancar dan kami harap ia akan berterusan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28