KDEBWM jamu 1,500 orang ramai pada program Iftar Ala Madinah di Karangkraf

Iklan
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir (dua, kiri) bersama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah (kiri) menyapa orang ramai sempena program Iftar Ala Madinah di Karangkraf.

SHAH ALAM- KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbang sumbangan berbentuk pakej makanan bagi meraikan lebih 1,500 orang ramai yang berbuka puasa semasa program Iftar Ala Madinah@Karangkraf pada Khamis.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, sumbangan tersebut merupakan inisiatif kebajikan syarikat berkenaan bersempena mengambil keberkatan bulan Ramadan.

Menurutnya lagi, pada kesempatan majlis itu, pihaknya turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

RAMLI

Iklan

"Bulan Ramadan merupakan bulan yang cukup istimewa, seperti yang dituntut dalam agama, bulan ini perlu diisi dengan banyak perkara, jadi kita mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Karangkraf kerana sudi berkolabarasi bersempena program Iftar Ala Madinah.

"Kerana saya rasa ada hadis menyatakan sekiranya kita menganjurkan berbuka puasa 'baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut' jadi saya ambil inisiatif turun ke bawah dengan orang awam untuk kita menjamu semua orang, agar mereka boleh berbuka puasa dengan tenang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Suasana sekitar Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di Dataran Karangkraf pada Khamis.

Yang turut hadir pada program berkenaan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Projek, Iftar Ala Madinah@Karangkraf Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud dan Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM Mahfuzah Muhamad Tarmidi.

Anak-anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bergambar usai penyerahan sumbangan dari KDEBWM.

Dalam pada masa yang sama, pihaknya turut memberikan lapan unit sumbangan tong sampah baharu 2-wheel bin-120L kepada Sinar Harian.

"Pemberian ini bagi memberi manfaat yang mana sisa-sisa makanan dan sampah dapat dibuang di tong sampah yang telah disediakan demi menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran di kawasan Kompleks Karangkraf," katanya.

Tambahnya, di bulan Ramadan ini semua orang mesti mendidik diri supaya sentiasa berdisiplin dalam membuang sisa-sisa makanan selepas berbuka puasa dan mengurus sampah tersebut dengan sistematik.

"Sekiranya ini dapat kita lakukan dengan disiplin yang tinggi, insya-ALLAH akan dapat mengurangkan lambakan sampah domestik.

"Tahun ini saya jangkakan ada peningkatan lagi ke atas penjanaan sisa dari bazar Ramadan, yang mana pada tahun lalu 73.67 matrik tan sampah dikutip setiap hari dari sampah bazar Ramadan," katanya.

Anak-anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) ketika berbuka puasa di Karangkraf.

Jelasnya lagi, pada tahun ini KDEBWM menguruskan sejumlah 10,817 petak bazar Ramadan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sementara itu pada majlis yang sama, Ramli turut mengajak orang ramai yang hadir supaya untuk terus kekal bersederhana di dalam berbuka puasa.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat pembaziran makanan yang boleh memudaratkan diri dan alam sekitar.

"Seharusnya kita patuh perintah ALLAH yang mengingatkan kita tentang pembaziran," katanya lagi.

REAKSI

DR MOHAMMAD FAHMI
"Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf sangat baik untuk memupuk semangat mahabbah, pihak korporat berkongsi rezeki kepada komuniti. Saya pun teruja mendengar nama programnya dan berharap ia dapat dikekalkan pada tahun akan datang," Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

FARIDAH
"Kita nampak anak-anak yang datang hari ini sangat teruja, kalau di sini mereka akan bertemu dengan ramai orang, dan mereka dapat bergaul dengan anak-anak yatim dari pusat jagaan lain, jadi di kesempatan ini kami ingin mengucapkan terima kasih kepada KDEBWM yang sentiasa membantu kami, bukan sahaja pada bulan Ramadan malah pada hari-hari yang lain," Presiden Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, Faridah Omar Shah.

MOHAMMAD HAIZAN
"Dari pihak YIDE kita menyusun beberapa program, untuk hari ini kita bersama KDEBWM, kita bawakan anak-anak yatim untuk bersama-sama berbuka puasa di Karangkraf," Eksekutif Kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Mohammad Haizan Mohd Rozi.